Print
Category: CONSUMER DIGEST

bh berita harian vector logoKUALA LUMPUR: Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, mengakui bank komersial mempunyai kemampuan untuk melanjutkan tempoh moratorium yang akan berakhir September ini.

Beliau berkata, kebarangkalian kerugian perlu ditanggung bank komersial diunjurkan pada kadar rendah, jika tempoh moratorium dilanjutkan secara menyeluruh.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) boleh membantu memudahkan keperluan deposit, sekali gus meningkatkan kapasiti bank komersial untuk melanjutkan pinjaman.

Nilai Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Institusi Kewangan dianggarkan berjumlah RM25 bilion atau RM50 bilion, jika ia dilanjutkan masing-masing bagi tempoh tiga dan enam bulan.

"Bukan persoalan bank mampu lanjutkan (moratorium) atau tidak, sebaliknya adalah peluang untuk mendapatkan peminjam baharu akan berkurangan jika tempoh moratorium dilanjutkan.

"Sebaliknya, kerisauan bank adalah tunggakan itu berkemungkinan menjadi pinjaman tidak berbayar jika moratorium dilanjutkan, selain adakah bank mampu untuk menyerap pinjaman ini atau tidak.

"Bagaimanapun, ia boleh diselesaikan dengan campur tangan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) sebagai penjamin cuma bank perlu memilih peminjam bersesuaian," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas syor melanjutkan tempoh moratorium bagi membantu perniagaan dan individu terjejas teruk akibat penularan COVID-19, yang diperkenal kerajaan, pada 25 Mac lalu.

Barjoyai turut mencadangkan peminjam kurang berkeupayaan membayar hutang untuk membuat pinjaman baharu daripada bank bagi melunaskan beberapa tunggakan, sebagai alternatif jika moratorium tidak dilanjutkan.

Katanya, kaedah berkenaan mampu menyelesaikan semua tunggakan dihadapi peminjam, bagaimanapun akan memanjangkan tempoh pinjaman sedia ada.

"Selain itu, kerajaan disyor menghapuskan (write off) tunggakan pinjaman bagi individu yang dikenal pasti tidak mempunyai apa-apa kemampuan untuk membayar semula hutang mereka dengan langkah ini wajar dilakukan selepas setahun pasca COVID-19.

"Bagaimanapun, ia hanya membabitkan peminjam betul-betul tidak mampu melangsaikan hutang mereka dengan kos perlu ditanggung bersama antara bank komersial dan kerajaan," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/715144/bank-mampu-lanjutkan-moratorium-jika-mahu-pakar