| Hari Pengguna 2003 |
|
|
|
| Written by Administrator |
| Friday, 27 February 2009 12:13 |
|
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) telah menganjurkan Pertandingan Mengarang Esei dan Melukis Poster Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan. Pertandingan ini diadakan bersempena dengan Hari Pengguna Malaysia 2003 yang bertemakan " Pengguna Berhemah, Peniaga Beretika: Asas Kemakmuran Negara". Pertandingan ini telah berlangsung selama 2 bulan bermula pada 27 Mei hingga 19 Julai 2003. Acara ini merupakan program tahunan dan pada tahun ini ia merupakan tahun kedua FOMCA dilantik sebagai Penganjur bagi Pertandingan Mengarang Esei dan Melukis Poster Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
Tujuan pertandingan ini diadakan ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang isu-isu terkini yang berhubungkait dengan pengguna. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para peserta untuk meluahkan pendapat dan idea-idea berdasarkan tajuk-tajuk yang diberikan. Ini merupakan satu usaha untuk memberi pendedahan dan pendidikan kepada penguna seterusnya dapat menilai kefahaman serta tindakbalas pengguna terhadap isu-isu kepenggunaan yang berlaku masa kini.
Pertandingan ini terbuka kepada para pelajar sekolah rendah, menengah dan orang awam. Pihak Sekretariat menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM 35,000 dengan 138 orang pemenang bagi semua kategori pertandingan ini. Penyertaan dan penglibatan pada tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan berbanding pada tahun-tahun yang lepas. Pihak Sekretariat menerima 7,300 penyertaan bagi Pertandingan Melukis Poster.
Pertandingan Menulis Esei bagi kedua-dua kategori iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menerima sebanyak 3,600 penyertaan. Secara keseluruhannya, kedua-dua pertandingan ini disertai oleh para pelajar yang berumur 13 tahun hingga 18 tahun. Negeri Sabah dan Sarawak adalah negeri yang terbanyak menyertai pertandingan ini
Majlis Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Mengarang Esei dan Melukis Poster Kepenggunaan telah berlangsung pada 31 Ogos 2003 bertempat di Crystal Crown, Petaling Jaya. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato' S. Subramaniam, Timbalan Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Seramai 170 orang jemputan telah hadir yang terdiri daripada Bahagian Hal Ehwal Pengguna, jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat korporat, pihak media, guru-guru, ibu bapa dan para pelajar |







