Home FOMCA di Pentas Media FOMCA di Pentas Media 2010 Utusan Online - Pelarasan subsidi rasional ikut pasaran - Fomca
Utusan Online - Pelarasan subsidi rasional ikut pasaran - Fomca PDF Print E-mail
Written by admin   
Friday, 16 July 2010 21:42

KUALA LUMPUR 15 Julai - Persatuan pengguna menyifatkan pelarasan harga subsidi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula sebagai rasional mengikut harga pasaran dunia.


Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N. Marimuthu berkata, pengguna perlu menerima hakikat pelarasan harga subsidi kerana ia hakikat pasaran semasa dunia.

"Berbanding pengguna negara lain, mereka tidak menerima subsidi daripada kerajaan dan harga minyak mereka diapungkan mengikut harga pasaran dunia.

"Oleh itu, kenaikan 5 sen bagi petrol RON 95 tidak akan menjejaskan perbelanjaan pengguna negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan hari ini memutuskan, harga petrol RON 95 dan diesel akan diselaraskan 5 sen kepada harga baru iaitu masing-masing RM1.85 seliter dan RM1.75 seliter bagi semua sektor berkuat kuasa esok.

Harga LPG pula akan diselaraskan 10 sen menjadi RM1.85 sekilogram dan petrol RON 97 diapung terkawal memandangkan ia hanya membabitkan 13 peratus penggunaan bahan api di Malaysia.

Selain itu, harga gula turut diselaraskan 25 sen berbanding harga asal RM1.65 sekilogram menjadi RM1.90 sen sekilogram.

Menurut Marimuthu, pelarasan harga gula tidak akan membebankan pengguna kerana penggunaan harian isi rumah yang terhad.

"Selama ini hanya peniaga industri yang mendapat faedah daripada subsidi yang diberi kerajaan dan bukannya pengguna.

"Secara tidak langsung, kita dapat bekalan gula yang mencukupi di pasaran," katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusoff Ismail yang sependapat dengan Marimuthu berkata, harga petrol RON 97 yang diapungkan tidak akan memberi kesan kepada pengguna sekiranya mereka bijak memilih.

"Pengguna tidak perlu bimbang kerana mereka mempunyai pilihan sama ada mahu menggunakan petrol RON 95 atau RON 97 mengikut kemampuan masing-masing.

"Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan pengguna yang berpendapatan rendah lebih ramai menggunakan petrol RON 95 kerana harganya lebih murah," katanya.

Tambah Yusoff, seperti minyak, pengguna gula di negara lain juga tidak menerima subsidi dan menyebabkan penyeludupan gula berleluasa di negara ini.

"Cake mencadangkan subsidi gula dihentikan terus sebagai kawalan terhadap aktiviti penyeludupan gula ke negara luar.

"Hanya salurkan subsidi kepada peniaga industri kecil dan sederhana yang berasaskan gula sahaja bagi mengelakkan harga barangan lain naik secara mendadak," ujarnya.

Last Updated on Wednesday, 08 September 2010 04:52