| Bernama - NCCC Terima 32,369 Aduan Pengguna Tahun Lepas |
|
|
|
| Written by admin |
| Thursday, 13 May 2010 04:40 |
|
KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 32,369 aduan daripada pengguna mengenai pembelian barangan dan perkhidmatan yang membabitkan kerugian sebanyak RM210 juta pada tahun lepas. Pengerusi Lembaga Pengarah NCCC Datuk N.Marimuthu berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 16.7 peratus berbanding 28,080 aduan dengan kerugian RM170 juta pada 2008. "Daripada 32,369 aduan diterima, sebanyak 85 peratus telah dapat diselesaikan iaitu merangkumi kepuasan dan kerugian yang dialami mereka (pengguna)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar "Kebangsaan Pengendalian Aduan 2010" dan pelancaran laporan tahunan NCCC 2009, di sini pada Selasa. Katanya, berdasarkan laporan NCCC 2009, jumlah terbesar aduan iaitu sebanyak 2,713 aduan melibatkan kategori yang meliputi jualan langsung seperti penipuan gores dan menang, tawaran pelaburan dan cabutan bertuah. Kategori perumahan pula mencatatkan aduan kedua tertinggi iaitu sebanyak 2,686 aduan diikuti aduan kategori komunikasi dan multimedia (2,512), kategori perkhidmatan masa hadapan (2,347) dan mutu barangan dan perkhidmatan (2,120). Marimuthu yang juga Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata aduan dalam kategori perumahan agak kurang dapat diselesaikan berikutan masalah seperti projek perumahan terbengkalai. "Konsep bina dan baru jual rumah perlu dipergiatkan untuk melindungi pengguna daripada projek perumahan yang terbengkalai. "Namun, pengguna juga dinasihatkan untuk membeli rumah dari syarikat pemaju yang rekodnya tidak mempunyai masalah," katanya. |



FOMCA di Pentas Media 

