| Berita Harian - KERAJAAN CARI KAEDAH TERBAIK AGIH SUBSIDI |
|
|
|
| Written by admin |
| Friday, 26 February 2010 01:35 |
|
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih cuba merumuskan kaedah terbaik bagi mengawal selia pengagihan subsidi minyak apabila kadar baru diperkenalkan mulai 1 Mei ini selepas beberapa cadangan awal dibatalkan berikutan terlalu banyak kerumitan selain mungkin menyukarkan pengguna.
Sebelum ini, beberapa akhbar memetik kenyataan sumber bahawa dasar baru mengehadkan subsidi petrol untuk satu kereta bagi setiap orang akan memerlukan pemilik kereta mendaftar nombor MyKad dan nombor pendaftaran kenderaan dengan Malayan Banking Berhad (Maybank). Difahamkan, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Maybank sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi mengemas kini sistem baru subsidi petrol itu. Antara kaedah awal yang dipersetujui memerlukan stesen minyak memasang sistem komputer dihubungkan kepada komputer JPJ serta JPN dan perbankan online Maybank selaku koordinator proses pengesahan itu. Rangkaian itu diselaras bagi melengkapkan proses menentukan kelayakan penerima subsidi, yang dijangka menggunakan kaedah pengesahan biometrik, seperti mana diguna pakai bagi pasport antarabangsa Malaysia. Bagaimanapun, sumber industri memberitahu, kerajaan baru-baru ini memutuskan kaedah menggunakan Mykad itu didapati tidak sesuai kerana dikhuatiri menyusahkan pengguna dan pengusaha stesen petrol selain mengakibatkan kesesakan ketika mengisi minyak. Akhbar Sin Chew terbitan Isnin lalu memetik kenyataan Presiden PDAM, Datuk Hashim Othman, yang berkata pengesahan biometrik menerusi imbasan cap jari itu mungkin mengundang masalah kesesakan seperti mana berlaku di lapangan terbang. Pengusaha stesen minyak pula merungut mengenai kos tambahan memasang sistem komputer sedangkan mereka hanya meraih keuntungan 12.19 sen seliter bagi petrol dan tujuh sen seliter bagi diesel. Harga semasa petrol RON95 sekarang ialah RM1.80 seliter manakala RON97 dan diesel pula masing-masing dijual pada harga RM2.05 serta RM1.70 seliter. Difahamkan, harga minyak mungkin naik 10 sen sebagai langkah jangka pendek sementara mekanisma lebih sesuai bagi mengawal subsidi dapat diselaras memandangkan harga minyak serta gas global terus meningkat dan kini sudah mencecah AS$79 (RM269) satu tong. |



FOMCA di Pentas Media 

