Home FOMCA di Pentas Media FOMCA di pentas media 2010 Berita Harian - Pinda akta bendung iklan mengelirukan
Berita Harian - Pinda akta bendung iklan mengelirukan PDF Print E-mail
Written by admin   
Friday, 19 February 2010 15:46
KUALA LUMPUR-19 Februari 2010: Akta Perlindungan Pengguna yang dijadualkan untuk pindaan, Mac ini antara lain mewujudkan jawatankuasa pemantauan pengiklanan bagi mengelakkan kebanjiran iklan yang mengelirukan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jawatankuasa itu menjalankan tugasan memantau semua jenis iklan.

“Ini bagi mengelakkan orang ramai daripada terpengaruh dengan iklan yang kebanyakannya menipu pengguna. Draf pindaan itu sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk proses perundangan sebelum dibentangkan di Parlimen, Mac ini.

“Pindaan akta ini adalah bagi melindungi hak pengguna di negara ini supaya tidak ditipu sewenang-wenangnya dengan iklan yang ditawarkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pertandingan Hari Pengguna Malaysia 2010 di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu.

Pindaan akta itu adalah satu daripada enam akta berkaitan kepenggunaan yang akan dipinda pada persidangan Parlimen ini, dalam usaha kerajaan menjaga kepentingan pengguna.

Lima akta lain ialah Akta Sewa Beli, Akta Kawalan Harga, Akta Jualan Langsung, Akta Hak Cipta dan Akta Maktab Kerjasama Malaysia.