| Utusan - Jawatankuasa pantau iklan mengelirukan bakal ditubuhkan |
|
|
|
| Written by Administrator |
| Friday, 19 February 2010 15:17 |
|
KUALA LUMPUR 18 Feb. – Akta Perlindungan Pengguna yang akan dipinda pada sesi sidang Dewan Rakyat Mac ini antara lain akan mewujudkan satu jawatankuasa pemantauan pengiklanan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa pemantauan berkenaan dilaksanakan bertujuan untuk mengelakkan pengguna daripada berdepan dengan iklan-iklan yang mengelirukan mereka. ”Pindaan kepada akta ini antaranya mewujudkan satu jawatankuasa pemantauan kepada pengiklanan. “Ia sebenarnya hasil daripada perbincangan kita dengan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Penguna Malaysia (FOMCA), yang mana kita melihat ketika ini terlalu banyak iklan yang didapati mengelirukan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertandingan Kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2010 di sini, hari ini. Ismail Sabri berkata, bagi pelaksanaan penubuhan jawatankuasa tersebut, beliau akan melantik anggota-anggota jawatankuasa untuk memantau serta meneliti sebarang aduan yang diterima. Beliau berkata, Akta Perlindungan Pengguna itu juga dipinda bagi menambah klausa baru berkenaan terma kontrak yang tidak adil, iaitu memberi hak kepada pengguna untuk mencabar perjanjian yang didapati berat sebelah walaupun telah ditandatangani. – Bernama |
| Last Updated on Friday, 19 February 2010 15:21 |




FOMCA di Pentas Media 

