Home FOMCA di Pentas Media FOMCA di pentas media 2010 Usah membazir sumber air terawat
Usah membazir sumber air terawat PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 05 February 2010 15:15
PERTAMBAHAN populasi penduduk menyebabkan permintaan air semakin tinggi. Lebih teruk lagi, perubahan iklim berlaku memberi impak kepada sumber air. Pemanasan global, contohnya memberi kesan seperti di Kuala Lumpur yang mengalami peningkatan suhu di antara 0.5 sehingga 1.5 darjah Celsius sejak 1950-an.

Disebabkan fenomena itu, kemarau semakin kerap berlaku. Cuaca dan bilangan hari panas yang bertambah menggugat bekalan air mentah. kita tidak dapat mengelak krisis air berlaku, tetapi kita mampu mengurangkan tekanan menghadapinya.

Pengguna berperanan mengurangkan impak terhadap krisis air. Masyarakat di Malaysia, rata-ratanya menganggap sumber air terawat mudah dan murah. Sikap ini menyebabkan air selalu dibazirkan. Mengikut sumber dari Malaysian Water Industrial Guide dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), pada 2008, nilai purata kebangsaan air bagi setiap individu adalah 205 liter.

Penduduk Pulau Pinang, contohnya mencatatkan penggunaan air paling tinggi di Semenanjung iaitu 285 liter sehari. Ia mungkin disebabkan faktor tarif air paling rendah berbanding di negeri lain. Sebagai pengguna yang bertanggungjawab, masyarakat perlu cekap dan menjimatkan air.

Ini kelihatan mudah tetapi, berapa ramai yang mampu menjimatkan air. Seperti di rumah, secara puratanya, 50 hingga 80 peratus air sisa domestik terdiri air kelabu.

Air kelabu adalah air yang boleh digunakan semula untuk aktiviti bukan bertujuan makan, minum dan kebersihan diri. Perbuatan ini sangat merugikan kerana secara purata setiap individu menghasilkan 150 liter air kelabu setiap hari.

Dengan menggunakan semula air kelabu untuk aktiviti seperti mencuci laman atau longkang, ia boleh membantu mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat. Bukan itu saja, sebagai sebuah negara yang menerima hujan sepanjang tahun, kita harus mengambil kesempatan melakukan penuaian air hujan. Langkah ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat bagi melakukan aktiviti harian yang bukan bertujuan makan, minum dan kebersihan diri.

Bagi pihak berkuasa pula, pengawalan dan penguatkuasaan perlu dipertingkatkan bagi memastikan individu tidak bertanggungjawab dikenakan hukuman berat atas kesalahan melakukan pencemaran terhadap sumber air mentah.

Sumber air mentah yang tercemar bukan saja mengganggu sumber untuk mendapatkan air terawat tetapi ia memerlukan komitmen yang tinggi dari sudut masa, kos dan tenaga bagi dilakukan pemuliharaan semula.

Pihak kerajaan pula yang memegang tanggungjawab untuk menguruskan kawasan tadahan air perlu mengambil langkah segera mewartakannya bagi mengelakkan sebarang aktiviti haram seperti pembalakan bagi mengelakkan sumber air mentah kita dicemari sekali gus menambah tekanan kepada kita sekiranya berlaku masalah krisis air.

SYARINA MOHD YUSOF,
Eksekutif Program
Forum Air Malaysia.