Home FOMCA di Pentas Media FOMCA di Pentas Media 2010 Akta Persaingan berkesan sekat monopoli
Akta Persaingan berkesan sekat monopoli PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Monday, 01 February 2010 09:59
KENYATAAN Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa Akta Persaingan akan diwartakan pada tahun ini amat dinanti-nantikan.

Pergerakan pengguna di Malaysia sudah mendesak supaya akta ini diwujudkan sejak sekian lama bagi membolehkan pengguna menikmati persaingan sihat antara industri makanan dan penyedia perkhidmatan.

Akta seumpama ini sudah lama wujud di beberapa negara, khususnya negara maju bertujuan menghalang sebarang amalan monopoli di kalangan industri sehingga boleh memberi kesan kepada pengguna, terutama berkaitan bekalan dan penetapan harga.

Pada masa ini, ada beberapa industri komoditi seolah-olah wujud amalan monopoli, seperti beras, gandum, gula dan sebagainya. Industri yang bersifat monopoli ini sering kali menaikkan harga barang mereka sekiranya barangan terbabit, bukannya berada dalam senarai barang kawalan.

Ini menimbulkan kegusaran kepada pengguna, khususnya yang berpendapatan rendah. Oleh itu apabila Akta Persaingan ini diwujudkan, amalan monopoli ini dapat dibanteras. Selain itu pengguna juga dapat menggunakan kuasa mereka untuk membuat pilihan industri perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan yang baik.

Selain itu, kerajaan juga akan meminda Akta Kawalan Harga 1946 bagi memasukkan peruntukan mengenai antimengaut keuntungan berlebihan (atau juga dikenali sebagai antipencatutan). Peruntukan undang-undang ini juga sudah lama diminta agar diwujudkan.

Pengguna sering kali berdepan kenaikan harga barangan apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga, seperti harga bahan api, komoditi keperluan asas dan sebagainya. Begitu juga apabila berlaku kenaikan tarif seperti tarif elektrik, air dan seumpamanya.

Setiap kali harga atau tarif ini dinaikkan, wujud reaksi jaringan bagi barangan lain yang menggunakan bahan yang dinaikkan harga atau tarif. Peruntukan undang-undang yang ada pada masa ini bergantung kepada Akta Kawalan Harga, iaitu peniaga perlu meletakkan tanda harga bagi barang jualan.

Sekiranya tanda harga diletakkan, terserah kepada pengguna sama ada untuk membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan berkenaan. Tetapi apabila peraturan antipencatutan ini dilaksanakan, jika berlaku kenaikan harga secara se wenang-wenangnya, maka tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

Apa yang diharapkan ialah kerajaan menggubal dan mewartakan segera Akta Persaingan dan peraturan antipencatutan bagi mengatasi masalah yang bakal berlaku apabila kerajaan menarik secara beransur-ansur subsidi bagi beberapa barang seperti gula, minyak masak dan bahan api.

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
Pengarah Komunikasi
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).