| Pantau Elemen Negatif Kartun |
|
|
|
| Written by Administrator |
| Monday, 11 January 2010 08:45 |
SPONGEBOB Squarepants, Dora The Explorer, Doraemon, Hagemaru dan Wonderpets antara contoh siri kartun di televisyen yang menjadi ‘makanan harian’ kanak-kanak di negara ini. Itu baru sebahagian, jika nak disebut satu persatu senarainya akan menjadi panjang.Yang pasti, semua itu adalah program luar negara yang diimport sama ada dari Amerika Syarikat (AS) atau Jepun. Mujurlah baru-baru ini muncul produk tempatan, Upin dan Ipin yang berjaya menyelit dalam senarai itu sebagai siri kartun televisyen yang menjadi kegilaan kanak-kanak. Justeru, apabila sebahagian besar program animasi atau kartun itu diimport dari luar, ia bermakna secara tidak langsung kanak-kanak negara ini juga terdedah kepada budaya luar yang ada di antaranya tidak sesuai dengan norma masyarakat kita. Buktinya, satu ketika dulu heboh diperkatakan mengenai kartun The Simpsons yang dialognya didapati kasar dan seolah-olah mengajar kanak-kanak jadi kurang ajar dan terbaru, siri Hagemaru dari Jepun dikesan mengandungi banyak elemen sensitif yang menyentuh kepercayaan beragama di negara ini. Persoalannya, sejauh mana stesen televisyen yang mengimport produk kartun berkenaan memantau perkara ini dan membuat sekatan atau tapisan bagi memastikan ’sampah’ di dalam program kartun itu dibuang terlebih dulu? Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), S Piarapakaran, berkata siri kartun di televisyen mempunyai kesan kuat dalam mempengaruhi minda serta perlakuan kanak-kanak. Oleh itu, katanya, pemantauan berterusan adalah satu kemestian supaya kandungan program kartun di TV tidak tercemar dengan unsur negatif, biarpun setakat ini tidak berlaku isu yang benar-benar serius berkaitan dengannya. ‘Sebagai pihak yang mewakili suara pengguna di Malaysia, kami menggesa pihak stesen televisyen memastikan kawalan serta pemantauan terperinci kepada kandungan setiap program kartun atau apa saja bahan hiburan yang ditujukan untuk kanak-kanak,’ katanya. Mengulas gesaan Fomca itu dan kebimbangan wujudnya elemen negatif dalam siri kartun di TV secara keseluruhan, Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Rozaina Zainul Abidin, berkata ia memang dititik beratkan oleh pihaknya sejak penubuhan TV9 pada 2006. Menurutnya, setiap program yang diterbitkan oleh TV9 atau dibeli dari luar tidak terus disiar, sebaliknya bahagian penjenamaan melihat secara terperinci setiap isi kandungan dan bahan penceritaannya terlebih dulu. ‘Semua program kartun yang disiarkan di TV9 seperti Spongebob Squarepants, Dora The Explorer, Blue’s Clues dan Wonderpets serta program terbitan kami seperti Idola Kecil, Pondok-Pondok dan Adik Di 9 ditapis dan diluluskan. ‘Semua program itu dipastikan tidak melekakan penonton dengan fantasi, sebaliknya mereka diharap boleh mendapat pengajaran yang turut ada dalamnya,’ katanya. Rozaina seterusnya memberi contoh siri produksi tempatan popular, Upin dan Ipin yang penuh dengan pengajaran dan mampu menarik jutaan kanak-kanak untuk terus melekat menyaksikannya. ‘Upin dan Ipin tidak hanya memberi keseronokan, malah banyak pengajaran berguna kepada setiap kanak-kanak yang menontonnya,’ katanya. Sejajar perkembangan itu, kata Rozaina, TV9 kini komited untuk membentuk kumpulan kreatif tempatan serta tenaga kerja daripada stesen televisyen itu supaya mampu menghasilkan program menarik yang sesuai dengan cita rasa masyarakat tempatan. Pengurus Saluran Astro Ceria, Evon Koh, pula mengakui 80 peratus rancangan kanak-kanak di saluran televisyen swasta berbayar itu membabitkan siri animasi dari luar negara yang disiarkan melalui saluran seperti Cartoon Network, Nickelodeon dan Disney, dan hanya 20 peratus produk tempatan. Bagaimanapun, katanya, Astro sentiasa berusaha untuk terus meningkatkan program tempatan dengan idea lebih kreatif dan bernas, terutama untuk tontonan kanak-kanak. ‘Kami bangga dengan program yang mendapat sambutan hangat kanak-kanak seperti Hagemaru, Ultraman, Ninja Boy dan Pokemon serta produk tempatan seperti Kampung Boy dan Mat Kacau. ‘Kami juga yakin penonton cilik kami tidak hanya menonton untuk berhibur, sebaliknya ada pelbagai pengajaran yang kami pantau terlebih dulu di dalam setiap rancangan berkenaan. ‘Pemantauan berterusan dijalankan ke atas setiap program, termasuk kartun yang dibeli dari luar. Jadi tidak timbul soal kandungannya yang kasar dan tidak bersesuaian dengan budaya tempatan. ‘Namun kami tidak menafikan kesilapan kecil yang berlaku apabila kandungan dalam satu siri Hagemaru terselit elemen sensitif yang menyentuh visual neraka. Semestinya kealpaan seperti itu tidak mungkin berulang lagi,’ tegasnya. Evon berkata, dalam usaha mengelak kebergantungan kepada program kanak-kanak yang diimport dari luar melalui saluran seperti Cartoon Network, Nickelodeon dan Disney, Astro Ceria kini cuba tampil sebagai saluran alternatif yang menyediakan pelbagai program tempatan. ‘Namun, Astro Ceria tidak mahu memfokus kepada program kartun atau animasi semata-mata, sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada rancangan hiburan atau fiksyen kanak-kanak seperti Tom Tom Bak (TTB), Geng Bas Sekolah dan Hikayat Putera Shazlan yang kini tidak boleh dipertikaikan lagi popularitinya di kalangan kanak-kanak,’ katanya. Harian Metro 03 Jan 2010 Oleh MURSHID EUNOS This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it |



FOMCA di Pentas Media 


SPONGEBOB Squarepants, Dora The Explorer, Doraemon, Hagemaru dan Wonderpets antara contoh siri kartun di televisyen yang menjadi ‘makanan harian’ kanak-kanak di negara ini. Itu baru sebahagian, jika nak disebut satu persatu senarainya akan menjadi panjang.