|
SAYA ingin merujuk kenyataan akhbar dikeluarkan Fomca dan beberapa surat pembaca di di beberapa akhbar tempatan baru-baru ini, yang mempersoalkan kewajaran Sime Darby, iaitu konglomerat ulung negara dalam bidang perladangan mega membabitkan diri dalam industri berkaitan air. Sime Darby berhasrat menjalankan kajian dan mempelopori usaha mengekstrak air bawah tanah di Perak yang dibimbangi banyak pihak menjejaskan ekosistem dan menyebabkan kepupusan habitat flora dan fauna di kawasan terbabit.
Pada pendapat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), masih banyak kawasan tadahan air belum diterokai di Selangor, Perak dan negeri lain untuk menambah bekalan kepada pengguna.
Elok kerajaan negeri melipatgandakan usaha dan menambah kapasiti air dengan menjalankan usaha selain mengekstrak air bawah tanah yang kami rasa pilihan terakhir wajar dilakukan.
Meskipun pihak terbabit menjelaskan keperluan berbuat demikian, ada beberapa kesan negatif antaranya apabila kadar penggunaan air bawah tanah melebihi kadar penggantiannya melalui proses semula jadi, ia boleh membawa impak sosial, ekonomi dan alam sekitar termasuk:
· Penenggelaman/pemendapan tanah dan kerosakan infrastruktur; · Pengurangan aliran sungai dan tasik. · Impak kepada flora dan fauna yang bergantung kepada proses aliran semula jadi air (kitar air).
Oleh itu, PPIM ini ingin menyatakan pendirian usaha untuk mengekstrak air bawah tanah perlu ditangguhkan walaupun dengan menggunakan teknologi canggih kerana kejayaan di negara luar khususnya di Eropah dan Australia belum tentu sesuai dengan iklim, struktur tanah dan aspek lain di negara kita. DATUK DR MA'AMOR OSMAN, Setiausaha Agung PPIM.
|