Home FOMCA di Pentas Media FOMCA di Pentas Media 2009 Utusan - Projek air bawah tanah ganggu ekosistem - FOMCA
Utusan - Projek air bawah tanah ganggu ekosistem - FOMCA PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 28 August 2009 16:54

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan membatalkan projek pembangunan sumber air bawah tanah di Batang Padang, Perak bagi memastikan ekosistem kawasan terlibat tidak terjejas.


Presidennya, Datuk N. Marimuthu, berkata, gesaan itu berikutan kajian FOMCA mendapati projek pengekstrakan air oleh sebuah konglomerat tempatan itu hanya memberi kesan negatif terhadap kawasan perladangan seluas 2,712 kilometer persegi di situ.

 


"Kajian FOMCA mendapati syarikat yang menjalankan projek ini akan mengekstrak air antara 50 sehingga 500 juta liter setiap hari (mld) ke kawasan Lembah Klang.


"Pengekstrakan yang begitu banyak hanya membawa kepada penenggelaman tanah, percampuran air laut, penurunan paras air serta penurunan aliran masuk air dan ia sekali gus memberi kesan kepada ekosistem," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.


Menurut Marimuthu, FOMCA juga meragui laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek itu yang hanya bersifat literatur dan tidak memperincikan pembangunan sumber air serta tidak dinyatakan lokasi spesifik ia akan dilaksanakan.


Tambahnya, antara yang dipertikaikan dalam laporan EIA itu ialah tiada model simulasi yang menggambarkan aliran air masuk semula ke muka bumi dalam jangka masa panjang selain jaminan kadar aliran masuk air ke dalam muka bumi lebih daripada jumlah pengekstrakan.


"Jika tiada jaminan air masuk melebihi pengekstrakan bermakna muka bumi dikawasan terbabit akan menjadi kering kontang kerana perut bumi tidak lagi menyimpan air.


"FOMCA tidak mahu Batang Padang mengalami nasib seperti Amerika Syarikat, Denmark, China dan England yang mana kawasan yang dilaksanakan projek ini menghadapi rekahan tanah, tasik menjadi kering serta tiada tumbuhan dapat hidup," ujarnya.