Home FOMCA di Pentas Media FOMCA di Pentas Media 2009 Bernama - FOMCA Bantah Projek Pembangunan Air Bawah Tanah Di Batang Padang, Perak
Bernama - FOMCA Bantah Projek Pembangunan Air Bawah Tanah Di Batang Padang, Perak PDF Print E-mail
Written by Administrator   
Friday, 28 August 2009 16:52

PETALING JAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membantah projek pembangunan sumber air bawah tanah di Batang Padang, Perak oleh Sime Darby Berhad kerana ia akan memberi kesan buruk kepada ekosistem dan juga alam sekitar.


Presiden FOMCA, Datuk N. Marimuthu berkata banyak bukti yang diperolehi daripada beberapa projek pembangunan sumber air bawah tanah di seluruh dunia mengenai kesan buruk akibat daripada pelaksanaan projek sedemikian.

 


FOMCA bertegas bahawa projek itu tidak harus dilaksanakan kerana negara masih mempunyai banyak kawasan tadahan air yang mampu membekalkan air ke seluruh negara.


Malaysia masih mempunyai banyak kawasan tadahan air dan sepatutnya usaha perlu dilakukan untuk memperbanyak kawasan itu tetapi malangnya bilangannya kini semakin berkurangan berikutan pelbagai bentuk pembangunan termasuk perumahan, katanya pada sidang media di sini Selasa.


Menurut Marimuthu, surat bantahan telahpun dihantar kepada Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Menteri Besar Selangor dan Perak, beberapa kementerian yang berkaitan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad yang mahu mereka menghalang projek itu daripada diteruskan.


Satu daripada kesan buruknya ialah sekiranya pengekstrakan air bawah tanah melebihi kadar gantiannya melalui proses semulajadi ia akan mengakibatkan tanah tenggelam dan akan berlaku percampuran air laut dengan air tawar serta penurunan paras aliran masuk air, jelasnya.


Ini semua akan mendatangkan kesan buruk kepada sistem ekologi dan alam sekitar seperti apa yang telah berlaku di Thailand, Indonesia dan beberapa kawasan di India, katanya.


Marimuthu berkata projek sumber air di Batang Padang yang akan mengekstrak antara 50 dan 500 juta liter padu air sehari itu bertujuan membekal keperluan air mentah ke Lembah Klang yang kian meningkat.


"Apa yang pasti ialah jika air dari Batang Padang dilombong dan hendak dihantar ke Selangor ia tentunya akan menelan belanja yang amat besar dan siapakah yang akan menanggung kos tersebut? soal beliau.


"Sebab itu, kami ingatkan SPAN supaya tidak mengeluarkan lesen kepada mereka," kata Marimuthu.


Projek itu kini dalam peringkat percubaan dan Sime Darby Berhad sedang dalam proses untuk meyakinkan Kerajaan Persekutuan bahawa ia kononnya mampu menyelesaikan krisis air negara akan datang, katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi FOMCA, S. Piarapakaran mempertikai laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek pembangunan sumber air bawah tanah itu yang dianggap begitu lemah.


"Berdasarkan penelitian dan kajian kami -- FOMCA, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga dan Forum Air -- selama 6 bulan, terdapat pelbagai perkara yang boleh dipertikaikan.


"Tiada model simulasi untuk mendapat kadar aliran masuk untuk suatu jangka masa panjang, tiada kepastian sama ada pengekstrakan itu menggunakan akuifer terkurung atau tidak terkurung.


"Tiada lokasi spesifik untuk projek yang dicadangkan. Batang Padang meliputi kawasan dari Slim River hingga Cameron Highlands meliputi kawasan seluas 2,712 kilometer persegi di samping tiada penganggaran perubahan air dinyatakan," jelas beliau.


"Laporan EIA ini lebih merupakan literatur kuantitif berbanding kualititatif dan tiada maklumat terperinci direkodkan," kata Piarapakaran.


Menurut Piarapakaran jika percampuran air laut berlaku, syarikat konsesi air yang merawat dan membekal air bersih akan terpaksa ditutup seperti yang berlaku di England di mana sejak pertengahan 1970-an, 11 sumber air bawah tanah yang dimilki oleh syarikat air telah berhenti beroperasi disebabkan masalah pencampuran air laut.


Beliau berkata di Batang Padang terdapat kawasan yang mempunyai ketinggian melebihi paras 1,200 meter yang akan menyebabkan tekanan tinggi pada kawasan pengekstrakan di hilir akuifer terkurung dan air hilang dengan lebih cepat berbanding aliran masuk.


"Ia akan menyebabkan kehilangan habitat kerana kawasan aliran masuk sebegini biasanya terdapat di hutan dara dan turut menjejaskan sungai, tasik, paya dan air terjun," katanya.