|
SAYA menyokong kenyataan Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), S. Piarapakaran dalam sebuah akhbar tempatan di mana projek pembangunan sumber air bawah tanah yang akan dijalankan di Batang Padang, Perak dan negeri-negeri lain oleh Sime Darby akan menimbulkan banyak masalah dan bencana terutamanya kepada alam sekitar. Projek air ini tidak wajar dijalankan dan pihak kerajaan harus mengambil tindakan supaya projek ini tidak diteruskan oleh syarikat berkenaan memandangkan projek ini akan memberi kesan buruk kepada ekosistem dan juga alam sekitar. Di samping itu juga, projek ini akan menyebabkan kehilangan banyak habitat di kawasan hutan tersebut dan turut menjejaskan aliran masuk air seperti sungai, tasik, paya dan air terjun.
Malaysia mempunyai banyak kawasan tadahan hujan dan masih mampu membekalkan air kepada seluruh penduduk. Sepatutnya kerajaan Malaysia harus berusaha untuk memperbanyakkan kawasan tadahan hujan dan bukanlah projek ekstrak air yang menelan belanja tinggi tetapi mendatangkan keburukan kepada alam sekitar. Siapakah yang akan menanggung kos yang tinggi sekiranya projek air ini diteruskan? Sudah tentu ia satu pembaziran dan lebih baik peruntukkan untuk projek tersebut dialihkan kepada projek yang lebih mendatangkan manfaat kepada rakyat.
Projek air ini bertujuan untuk membekalkan keperluan air mentah ke Lembah Klang. Projek yang kini dalam peringkat percubaan dan dalam proses untuk meyakinkan kerajaan Persekutuan bahawa ia mampu menangani krisis air negara pada masa akan datang. Mampukah syarikat berkenaan melaksanakan projek ini tanpa menjejaskan alam sekitar dan sistem ekologi?
Adakah wajar projek air tersebut dilaksanakan yang bertujuan untuk membekalkan air ke kawasan Lembah Klang padahal negeri Selangor telah mempunyai syarikat yang menguruskan pembekalan air kepada penduduk. Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di bawah Puncak Niaga adalah syarikat yang membekalkan air di negeri Selangor termasuklah Lembah Klang dan mampu membekalkan air secukupnya kepada penduduk.
Sehubungan itu, saya yakin bahawa SYABAS dapat menguruskan pembekalan air yang secukupnya kepada penduduk memandangkan SYABAS telah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang ini dan mampu menangani apa jua masalah di masa akan datang.
Oleh yang demikian, saya berharap agar pihak kerajaan memikirkan apa yang terbaik demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat dan tidak melakukan pembaziran yang kelak merugikan negara.
|