| Pengguna perlu bijak urus pengunaan air - KTTHA |
|
|
|
| Sunday, 14 June 2009 08:35 |
KUALA LUMPUR 13 Jun - Orang ramai perlu bijak menguruskan penggunaan air dalam aktiviti harian mereka.Ini berikutan negara bakal berdepan fenomena El Nino jika cuaca kering dan kemarau berterusan sehingga September ini. Bagaimanapun Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KTTHA), Datuk Dr. Halim Man berkata, buat masa sekarang pengguna tidak perlu panik kerana apa yang perlu mereka lakukan adalah menggunakan air secara berhemah. Beliau memberitahu, keseluruhan jumlah simpanan air bagi kesemua empangan di Selangor masih berada di tahap terkawal iaitu purata sebanyak 99 peratus kurang satu peratus daripada jumlah simpanan maksimum. "Kesemua empangan di seluruh negara seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak masih berada dalam keadaan terkawal. "Untuk menghadapi El Nino, KTTHA bersama dengan Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) dan semua operator pengeluar air telah membincangkan tindakan-tindakan yang perlu diambil sebagai langkah persediaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Baru-baru ini, Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail berkata, bekalan air bersih di sekitar Lembah Klang bakal terjejas jika cuaca panas dan kering pada masa ini berterusan dalam tempoh dua bulan lagi. Sehubungan itu, Halim menyarankan agar setiap lapisan masyarakat dapat memupuk kesedaran untuk menggunakan air secara berhemah. Antara yang boleh dilakukan, katanya, mengurangkan penggunaan air semasa mandi, mencuci pakaian, memberus gigi dan mengitar semula air basuhan beras, pinggan mangkuk untuk digunakan semula bagi tujuan berkebun dan mencuci kereta. Beliau berkata, buat masa ini, KTTHA bersama-sama dengan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan menganjurkan Kempen Penjimatan Air Kebangsaan yang dijangka akan dilaksana mulai Julai ini hingga 2010. "FOMCA dan PPIM akan diberi tanggungjawab untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti bagi pihak KTTHA dalam usaha memberi kesedaran kepada pengguna mengenai penggunaan air secara berhemah," jelasnya. KTTHA juga menyarankan agar orang awam melaporkan segera kepada operator air sekiranya terdapat kebocoran dan paip pecah bagi mengelakkan pembaziran air. |



FOMCA di Pentas Media 


KUALA LUMPUR 13 Jun - Orang ramai perlu bijak menguruskan penggunaan air dalam aktiviti harian mereka.