Home FOMCA di Pentas Media FOMCA di Pentas Media 2009 Isu USM: Jangan buat tafsiran tidak berasas
Isu USM: Jangan buat tafsiran tidak berasas PDF Print E-mail
Sunday, 14 June 2009 08:33
KUALA LUMPUR 12 Jun - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya jangan membuat tafsiran tidak berasas berhubung kesilapan teknikal dalam pengumuman kemasukan pelajar ke Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.

Presiden Persatuan Penggerak Majlis Belia Malaysia (Macom), Norizan Sharif berkata, masalah teknikal yang berlaku di universiti itu tidak boleh dipolitikkan kerana ia dilakukan tanpa disedari.


"Kita tidak seharusnya memperbesarkan isu itu lagi kerana ia akan mengakibatkan ketegangan dalam negara dan mencetuskan masalah perkauman.

"Ini adalah satu titik permulaan untuk mewujudkan masalah perkauman. Kita tidak boleh mengaitkan kesemua isu yang berlaku di negara ini dengan isu perkauman,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada 31 Mei lalu, lebih 100 pelajar dan ibu bapa menyerbu Pejabat Pendaftar USM berikutan timbul kekeliruan berhubung senarai akhir kemasukan pelajar universiti berkenaan bagi sesi 2009/ 2010 dalam laman web rasminya.

Salah faham itu timbul berikutan kesilapan teknikal dengan memasukkan semua senarai nama pelajar yang diterima dan juga ditolak iaitu kira-kira 8,000 orang di laman web universiti sedangkan jumlah sebenar permohonan yang diluluskan adalah 3,599 orang.

Dalam pada itu, ada beberapa pihak mentafsirkan isu itu sebagai isu perkauman kerana 67.4 peratus pelajar Melayu mendapat tawaran untuk memasuki universiti berkenaan.

Tambah Norizan, ia adalah isu yang tidak disengajakan, maka orang ramai tidak boleh mengambil kesempatan untuk mewujudkan senario yang tidak diingini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Dr. Hamdan Adnan menasihatkan orang ramai supaya melihat secara rasional jika berlaku sebarang kesilapan.

Katanya, jika pihak berkuasa membuat kesilapan, rakyat negara ini ada hak untuk mendapatkan kebenaran.

"Apa yang penting buat masa kini adalah mendapatkan penjelasan bagi kesilapan yang dilakukan oleh Pejabat Pendaftar USM.

"Kita manusia bukan Tuhan. Kesilapan adalah perkara biasa yang dilakukan oleh setiap manusia. Tidak patut mereka cerita untuk memperbesarkan isu ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Shaani Abdullah berkata, pihak yang terlibat dalam kesilapan itu harus mencari penyelesaian secepat mungkin.

"Tidak perlu membuat andaian sesuka hati dan memperbesarkan isu. Masing-masing mempunyai hak untuk membuat andaian tetapi ia tidak boleh melampai batas,'' jelasnya.