| Bina terminal bas sendiri tidak logik |
|
|
|
| Monday, 08 June 2009 09:47 |
KUALA LUMPUR 5 Jun - Persatuan pengguna membantah cadangan agar pengusaha pengangkutan awam membina sendiri terminal perhentian mereka dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya.Menurut mereka, langkah itu bukan sahaja tidak logik malah akan menyusahkan pelbagai pihak pada masa hadapan terutama kepada pengguna yang mungkin terpaksa menanggung kos pembinaan tersebut melalui kenaikan harga tambang. Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, sepatutnya pembinaan dan pemantauan operasi terminal adalah tanggungjawab kerajaan melalui agensi yang terlibat. "Belum tentu lagi syarikat pengangkutan bas yang berkenaan dapat memastikan kesesakan lalu lintas akan dapat ditangani. "Perancangan yang teliti perlu dijalankan terlebih dahulu seperti mengenal pasti lokasi strategik, kesesakan trafik sesuatu kawasan serta beberapa aspek lain yang perlu diambil tahu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, semua enam syarikat pengangkutan awam utama di ibu negara disaran membina terminal perhentian mereka sendiri bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, katanya, cadangan itu disifatkan paling baik bagi mengatasi masalah kesesakan yang semakin sukar untuk diatasi. Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, pengurusan dan pembinaan terminal bas sepatutnya tidak boleh diambil oleh pihak syarikat bas. Jika ia berlaku, katanya, tambang bas mungkin dinaikkan kerana kos yang terpaksa ditanggung oleh syarikat. "Sepatutnya syarikat perlu memberi tumpuan terhadap mutu perkhidmatan bas, keselesaan dan keselamatan penumpang," katanya. Menurutnya, adalah dikhuatiri pada suatu hari nanti pengguna sendiri yang terpaksa menerima bebannya dan bakal menyusahkan mereka pula. Sehubungan itu katanya, adalah lebih sesuai jika pembinaan dan pengurusan terminal bas dikendalikan sendiri oleh kerajaan. |



FOMCA di Pentas Media 


KUALA LUMPUR 5 Jun - Persatuan pengguna membantah cadangan agar pengusaha pengangkutan awam membina sendiri terminal perhentian mereka dalam usaha mengurangkan kesesakan jalan raya.