| Rombak pembiayaan pengangkutan awam |
|
|
|
| Tuesday, 26 May 2009 11:55 |
KUALA LUMPUR 25 Mei - Kerajaan digesa merombak semula model pembiayaan pengangkutan awam agar satu sistem pengangkutan yang berorientasikan perkhidmatan dapat diwujudkan secara bersepadu.Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kegagalan model pembiayaan sedia ada menyebabkan sistem pengangkutan awam di negara ini tidak berorientasikan perkhidmatan sebaliknya pengusaha lebih mementingkan kelangsungan syarikat. "Kerajaan harus mengkaji semula perkara ini. Contohi negara maju seperti Jerman yang mempunyai model pembiayaan pengangkutan awam yang cekap. "Jerman memperuntukkan sehingga 50 peratus daripada kos operasi sistem pengangkutan awam ditanggung oleh kerajaan dan ini menyebabkan syarikat pengangkutan awam di sana mampu menyediakan perkhidmatan terbaik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Mohammad Shaani berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelemahan ketara sistem pengangkutan awam di negara ini walaupun kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi tujuan naik taraf. Tinjauan Utusan Malaysia hari ini membuktikan hakikat tersebut apabila orang ramai beratur panjang kerana terpaksa menunggu bas dalam tempoh yang agak lama di perhentian bas terutama pada waktu puncak. Hal yang sama turut menimpa perkhidmatan LRT dan komuter apabila orang ramai terpaksa bersesak sehingga membahayakan diri masing-masing setiap kali menggunakan pengangkutan tersebut. Tambah Mohammad Shaani, ekoran pengusaha pengangkutan awam di negara ini terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi, maka perkhidmatan terbaik yang sepatutnya dinikmati pengguna gagal disediakan. Sementara itu, mengulas isu yang sama, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Maamor Osman berkata, kerajaan tidak serius mengatasi kelemahan sistem pengangkutan awam. "Masalah ini bukan baru tetapi telah sekian lama berakar umbi. Saya pelik ke mana peruntukan yang diumumkan kerajaan bagi tujuan menaik taraf sistem pengangkutan dibelanjakan. "Ini kerana sehingga kini keadaannya masih sama. Sistem pengangkutan awam kita masih jauh ketinggalan berbanding negara maju yang lain," jelasnya. Maamor menegaskan, perkhidmatan bas antara bandar perlu sentiasa ada setiap lima minit terutama pada waktu puncak bagi mengelakkan orang ramai terpaksa menunggu lama sehingga memberi kesan kepada produktiviti kerja mereka. |



FOMCA di Pentas Media 


KUALA LUMPUR 25 Mei - Kerajaan digesa merombak semula model pembiayaan pengangkutan awam agar satu sistem pengangkutan yang berorientasikan perkhidmatan dapat diwujudkan secara bersepadu.