Home FOMCA di Pentas Media FOMCA di Pentas Media 2009 Bukit Larut Dalam Bahaya - Kata FOMCA
Bukit Larut Dalam Bahaya - Kata FOMCA PDF Print E-mail
Thursday, 14 May 2009 07:55
PETALING JAYA, 13 Mei (Bernama) -- Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) memberi amaran bahawa Bukit Larut di Taiping kini sedang diceroboh dan berlaku kemusnahan gara-gara aktiviti komersial.

Kajian Fomca antara Februari dan Mac di bukit tersebut mendapati sampah dibuang sewenang-wenangnya, di tambah dengan aktiviti pembalakan haram, pembinaan banglo dan hostel di lereng bukit, sehingga mengotori sungai dan menyebabkan berlaku tanah runtuh.

Presiden Fomca, Datuk N. Marimuthu memberitahu Bernama Rabu, sekiranya kerajaan negeri tidak mengambil langkah segera menangani keadaan tersebut, bukit tersebut dalam jangka panjang akan pupus selama-lamanya dan tidak meninggalkan warisan kepada generasi akan datang.

"Apa yang membimbangkan saya ialah mengenai kawasan tadahan airnya yang merupakan sumber utama air mentah kepada penduduk Taiping dan kawasan sekitarnya, yang kini dicemari beg-beg plastik dan pelbagai jenis sampah-sarap," katanya.

Bukit Larut atau dahulunya dikenali sebagai Bukit Maxwell merupakan kawasan rekreasi tanah tinggi di Perak.

Ia merupakan kawasan paling lembap di negara ini.

Marimuthu berkata hakisan pasir berlaku di sepanjang lereng bukit ekoran aktiviti pembalakan haram.

"Hakisan menyebabkan pasir memenuhi sungai, menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan lebat turun," katanya.

Marimuthu berkata Fomca turut bimbang dengan pembinaan hostel 40 bilik di lereng bukit.

"Struktur bangunan adalah dari konkrit yang terlalu berat untuk ditampung oleh tanah bukit," katanya.

Beliau turut bimbang dengan sikap penghuni hostel yang turut mencemari kawasan sekitar hasil pembungan sampah ke dalam sungai.

Fomca turut prihatin dengan rancangan untuk membina perkhidmatan keretapi sehingga ke atas bukit kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna perkhidmatan tersebut, kata Marimuthu.



-- BERNAMA