Print
Category: PROFIL FOMCA

SUDAH hampir dua minggu negara dilanda jerebu. Menurut Jabatan Alam Sekitar, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.Kebakaran belukar bagi tujuan pertanian di beberapa kawasan antaranya di Johan Setia, Klang, Selangor memburukkan lagi kea­daan.Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 210 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.Ketua Perkhidmatan Oftamalogi Kementerian Kesihatan, Dr. Nor Fariza Ngah berkata, jumlah pesakit bagi kes berkaitan konjunktivitis (mata) me­ningkat 20 hingga 30 peratus di 42 hospital kerajaan seluruh negara kesan je­rebu.

Beliau menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti luar rumah yang boleh memberi kesan kesihatan terutama mereka yang menghidap asma.Peningkatan IPU ini turut menjejaskan sesi persekolahan di kawasan yang terlibat apabila terpaksa ditutup bagi mengelakkan kesihatan pelajar terjejas. Antara negeri yang terlibat de­ngan penutupan sekolah ini ialah Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Sela­ngor, Pulau Pinang dan Kedah serta Putrajaya.Mengikut pekeliling Kementerian Pendidikan, sekiranya bacaan IPU melebihi 100, pihak sekolah hendaklah menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah. Jika bacaan 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup serta-merta. Jabatan pendidikan negeri di seluruh negara mempunyai kuasa mengikut prosedur operasi standard masing-ma­sing untuk mengarahkan penutupan sekolah jika kawasan mereka dilanda jerebu teruk.

Namun, penutupan sekolah ini menjadi kompleks apabila ibu bapa ‘bising’ tatkala pihak sekolah lewat memaklumkan perkara tersebut.Sesi persekolahan bermula pukul 7.20 pagi namun pada pukul 6.45 pagi, baru arahan penutupan sekolah itu diuar-uarkan menerusi aplikasi Whats­App sekolah. Pada waktu begini belum tentu ada yang membacanya sebab sibuk menguruskan anak-anak pada waktu pagi atau bersiap ke tempat kerja.

Pada waktu itu juga, ramai ibu bapa telah menghantar anak-anak ke sekolah, ada yang terpaksa berpatah balik tidak kurang juga yang perlu mengambil semula anak-anak di sekolah.Kita perlu faham bahawa pihak sekolah hanya mengikut arahan yang dikeluarkan, namun jika arahan itu dapat dikeluarkan lebih awal tentulah lebih bagus ke­rana ibu bapa ada masa untuk membuat peran­cangan.

Andai sekolah ditutup, pasti taska, tadika dan pusat asuhan juga mengambil tindakan yang sama bagi mengurangkan risiko.Dalam situasi ini, ibu bapa juga perlu memainkan peranan. Pada pandangan penulis, jika IPU mencecah 200 dan anak tidak sihat, gunakan budi bicara dengan memberi cuti kepada anak. Maklumkan kepada guru jika sekolah tidak mengambil keputusan menutup sesi persekolahan pada hari terbabit.Tidak perlu tunggu pengumuman daripada pihak sekolah. Periksalah bacaan IPU setiap jam di portal JAS bagi men­getahui keadaan semasa. Paling penting, jaga kesihatan anak-anak. Kepada Jabatan Pendidikan ne­geri, maklumkan lebih awal mengenai penutupan sekolah untuk memudahkan semua pihak.

Tulisan: Suhana Md.Yusop