Print
Category: FOMCA di Pentas Media 2023

pngtree illustration of sustainable energy with electric plug and ecology theme vector png image 13838228KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyeru orang ramai supaya mengamalkan penggunaan barangan dan perkhidmatan elektrik secara lestari, bagi mengelakkan pembaziran ketika dunia kini menghadapi krisis tenaga.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Saravanan Thambirajah berkata pengawalan penggunaan tenaga elektrik dapat membantu kelangsungan bekalan tenaga, sekali gus meringankan beban kerajaan dan syarikat utiliti dalam menyediakan bekalan elektrik bagi memenuhi permintaan.

Jelasnya, ini berikutan penyediaan bekalan elektrik melibatkan kos yang tinggi terutamanya bagi penggunaan bahan api serta penyediaan infrastruktur bekalan elektrik.

"Setiap enam bulan, kerajaan akan mengumumkan kadar Pelepasan Kos Tidak Seimbang (Imbalance Cost Pass-Through - ICPT) dan telah mengekalkannya pada kadar sama seperti kitaran ICPT sebelum ini kepada hampir semua pengguna domestik dan bukan domestik kategori tarif voltan rendah dan pertanian spesifik.

"Pengekalan ICPT memberi impak yang baik kepada pengguna, lagi-lagi kerana ramai terjejas semasa pandemik COVID-19, di mana inflasi meningkat," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.


Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan elektrik bulanan berjumlah 1,500 kWj dan ke bawah, tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik berikutan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Jul hingga 31 Dis 2023, di bawah pelaksanaan mekanisme ICPT.

Kerajaan juga bersetuju menampung kos subsidi elektrik di bawah ICPT bagi tempoh sama, sebanyak RM5.2 bilion, bermakna hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik terbaru ini.

Sementara itu, pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembentungan akan menikmati penurunan berikutan purata harga bahan api arang batu menurun sedikit daripada AS$224/metrik tan (Julai-Disember 2022) kepada AS$173.50/metrik tan (Januari-Jun 2023).

Bagaimanapun, purata harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh kawal selia ketiga (RP3) iaitu AS$79/metrik tan.

Tahun ini, dianggarkan penduduk Malaysia yang mencecah 33.4 juta akan bertambah sekali gus penggunaan tenaga elektrik juga dijangka meningkat.

Susulan itu, Saravanan berkata penggunaan tenaga yang cekap amat penting dan boleh mengurangkan bil elektrik bulanan isi rumah.

Beliau juga menyarankan pengguna domestik membeli barangan elektrik cekap tenaga dengan Label Cekap Pengguna empat atau lima bintang yang dikawal selia Suruhanjaya Tenaga (ST), yang diberi rebat hingga RM400 menerusi program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) 3.0.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Azlin Othman berkata gaya hidup antara faktor yang memberi kesan besar kepada penggunaan tenaga elektrik.

Justeru, katanya, kaedah pemantauan serta mengoptimumkan penggunaan elektrik, satu langkah tepat dalam mengendalikan tenaga dengan lebih cekap demi masa depan lestari, selain penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan sebagainya.

Azlin juga mencadangkan kerajaan menyediakan pelan tindakan subsidi jangka pendek agar pihak pembekalan dan penyediaan bekalan elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat mengurangkan kadar cas elektrik supaya pelanggan dan pengguna akhir tidak terbeban.

Selain itu, beliau menyarankan kerajaan membuat satu kaedah berbentuk pembelajaran atau pendidikan kepenggunaan sebagai satu silibus mata pelajaran bermula dari peringkat sekolah rendah, selain mahu kelab pengguna peringkat sekolah lebih aktif menyampaikan saranan mengenai kaedah penggunaan elektrik.