fomca logo17 Ogos 2021
SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menerima beberapa aduan berhubung keselamatan susu formula bayi dan kanak-kanak yang didakwa mempunyai kesan sampingan terhadap beberapa kes cirit-birit termasuk cirit-birit berdarah.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Dr Saravanan Thambirajah berkata, Fomca memberi amaran kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga syarikat susu formula untuk memeriksa sebarang insiden yang berkaitan dengan keselamatan dan juga menarik balik produk tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurutnya, Fomca khuatir terhadap keselamatan semua jenama susu formula dan pihak KKM bertanggungjawab melakukan ujian makmal dan memeriksa bahan yang boleh membahayakan nyawa.
“Kebanyakan kes aduan berlaku ketika ibu bapa menukar susu berdasarkan umur dan pertumbuhan kanak-kanak menyedari anak-anak mereka mengalami kes cirit-birit yang teruk selepas minum susu tersebut.

“Justeru, Fomca menasihati ibu bapa supaya memantau perubahan pergerakan bayi mereka sejurus selepas menukar susu formula.

"Satu dekad lalu terdapat insiden susu formula yang dicemari melamin berbahaya yang terjual di pasaran di mana pemerintah perlu campur tangan untuk menyekat pengimportan susu formula tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, pengguna disarankan untuk membuat kajian dan membaca pengalaman serta reaksi yang dikongsikan oleh ibu bapa yang sudah melalui pengalaman buruk dengan jenama susu formula terbabit.

Tambahnya, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat yang berguna dan boleh menghalang kejadian tidak diingini berlaku.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/156149/BERITA/Nasional/Fomca-terima-aduan-susu-formula-beri-kesan-cirit-birit-berdarah
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf