Foto hiasan.KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang COVID-19 (Langkah Sementara) bagi mengurangkan impak penularan COVID-19 perlu juga mempunyai klausa yang melindungi hak pengguna dan pembeli rumah di negara ini.

Perkara itu disuarakan dua persatuan yang mewakili pembeli rumah dan pengguna yang mahu kerajaan menyediakan klausa khas mengenai jaminan dan kebajikan pembeli rumah dan hartanah yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Ia termasuk mereka yang sudah membayar deposit atau menandatangani perjanjian jual beli tetapi tidak dapat meneruskan pembelian sama ada kerana diberhentikan kerja, dipotong gaji atau diarah cuti tanpa gaji.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sewajarnya ada klausa dalam RUU itu yang menjaga kebajikan pengguna dan pembeli terutama dalam hal urusan jual beli kediaman.

Katanya, seharusnya kerajaan menimbangkan perkara itu selain klausa melindungi pemaju yang gagal menyiapkan projek daripada diambil tindakan akibat pandemik COVID-19.

"Saya percaya ada pembeli rumah yang sudah membuat bayaran deposit untuk pembelian rumah terpaksa membatalkan niat itu kerana tidak mampu berikutan kehilangan kerja. Maka kumpulan ini perlu dibela," katanya kepada BH ketika dihubungi semalam.

Beliau ditanya mengenai aspek kebajikan pengguna dan pembeli rumah dalam RUU berkenaan yang bakal dibentangkan Julai ini di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata, proses penggubalan RUU itu kini di peringkat akhir dan akan dibawa ke Kabinet Julai ini sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan sama.

Lebih 10 akta dikenal pasti akan dipindah di bawah RUU itu termasuk Akta Insolvensi, akta berkaitan pemaju perumahan yang akan dibawa ke Kabinet dan bentang di Parlimen pada Julai ini.

RUU itu dijangka dapat dikuatkuasakan selewat-lewatnya September ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong berkata perlindungan dari aspek perundangan ke atas pembeli rumah perlu diteliti.

Katanya, ada banyak situasi berkaitan peruntukan undang-undang membabitkan pembeli seperti perlindungan untuk pembeli yang sudah membayar deposit 10 peratus kepada pemaju tetapi tidak jadi meneruskan hasrat membuat pembelian berikutan kehilangan kerja.

"Begitu juga dalam situasi pembeli dan pemaju sudah menandatangani perjanjian jual beli (SPA), aspek perlindungan undang-undang kumpulan ini juga perlu diambil kira lebih lagi jika membabitkan bentuk pinjaman dengan bank," katanya.

Paling penting, katanya, RUU itu perlu melindungi pembeli rumah bukan sahaja membabitkan moratorium pembayaran balik pinjaman tetapi juga perlindungan dari aspek perundangan.

"HBA ingin mencadangkan RUU itu bukan hanya memberi perlindungan melalui penangguhan bayaran tetapi juga menawarkan 'perisai undang-undang' kepada semua kontrak jual beli yang dipersetujui.

"Paling penting diutamakan penangguhan pembayaran atau moratorium mempunyai jaminan tiadanya tindakan undang-undang boleh diambil oleh kedua-dua belah pihak," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/705423/ruu-covid-19-hak-pengguna-pembeli-rumah-perlu-dilindungi