Print
Category: FOMCA di pentas media 2021

fomcaKUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berpandangan lanjutan tiga bulan moratorium kepada golongan terjejas akibat krisis penularan COVID-19 wajar diberikan.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ini kerana lanjutan itu memberi masa kepada pihak berkenaan seperti yang diberhentikan kerja untuk mencari peluang pekerjaan atau sumber pendapatan lain, tanpa perlu risau memikirkan komitmen hutang kepada bank.

"FOMCA amat bersetuju dengan cadangan ini (lanjutan moratorioum). Jika pihak bank boleh beri lanjutan selama tiga bulan sehingga akhir tahun ini kepada pihak terjejas, saya percaya ia akan banyak membantu mereka dari segi aliran kewangan.

"Malah, bantuan moratorium sedang dilaksanakan ketika ini banyak membantu rakyat Malaysia terutama yang terjejas teruk dengan krisis COVID-19," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, hari ini berkata hanya golongan sasar yang terjejas akan menerima moratorium sekiranya ia dilanjutkan, bukan lagi secara automatik kepada semua seperti sebelum ini.

Katanya, perbincangan dengan pihak bank sedang dilakukan dan terpulang kepada mereka sama ada boleh melanjutkannya atau tidak.

"Pandangan peribadi saya, kita perlu menolong orang yang perlu ditolong...sewaktu melaksanakan moratorium enam bulan ini, kita menolong semua orang sama ada yang mempunyai gaji atau mampu untuk membayar, tetap dapat nikmati manfaat ini secara automatik.

"Jadi saya fikir menuju ke depan, langkah terbaik ialah untuk memberi tumpuan kepada golongan sasar yang mana lebih memerlukan.

"Bagaimanapun kita tidak boleh paksa bank melakukannya dan kami akan terus mengadakan libat urus dengan mereka mengenai perkara ini," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/705046/fomca-setuju-lanjutan-moratorium-untuk-golongan-terjejas