bh berita harian vector logoKUALA LUMPUR: Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang menawarkan potongan bil elektrik pengguna selama tiga bulan, akan meringankan beban pengguna susulan peningkatan ketara bil sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sebahagian besar pengguna kini boleh menarik nafas lega dengan pengumuman itu, khususnya mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh PKP.

"FOMCA mengalu-alukan pengumuman itu. Kita maklum bahawa sepanjang PKP, penggunaan elektrik meningkat kerana hampir semua orang terpaksa duduk di rumah, namun pada masa sama ramai juga yang terjejas pendapatan dan diberhentikan kerja.

"Sehubungan itu, potongan bil ini akan memberi kesan kepada mereka yang terbeban dengan bil elektrik yang melambung tinggi pada April, Mei dan Jun.

"Sama ada jumlah potongan itu cukup atau tidak bergantung pada kadar penggunaan elektrik seseorang itu, namun yang penting ia amat membantu," katanya kepada BH, hari ini.

 

Menerusi Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang diumumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini, empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik kurang RM77 atau penggunaan bawah 300kWj, akan menikmati bekalan elektrik percuma bagi April, Mei dan Jun yang akan dikreditkan dalam bil Julai.

Bagi pengguna domestik yang menggunakan elektrik lebih 300kWj pula akan menerima potongan bil sebanyak RM231, iaitu RM77 sebulan bagi bulan April, Mei dan Jun 2020, dan ia juga akan dikreditkan dalam bil Julai.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, pula menyifatkan pengumuman itu menggambarkan keseriusan kerajaan dan pimpinan tertinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendengar keluhan dan cuba menyelesaikan masalah pengguna.

Katanya, Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan adalah permulaan positif bagi TNB untuk terus memperbaiki dan melicinkan perkhidmatan mereka, dan berharap keterbukaan untuk mendengar keluhan pengguna itu akan berterusan.

"CASSA ada menghantar memorandum dan bertemu pimpinan tertinggi TNB termasuk pengerusinya, dan kami melihat pengumuman ini sebagai sesuatu yang positif," katanya.

Ditanya sama ada jumlah potongan itu mencukupi berikutan ramai pengguna mengadu kenaikan bil sehingga mencecah atau melebihi RM1,000 ketika PKP, Jacob berkata, ia bergantung pada cara pengguna menggunakan elektrik sepanjang tempoh berkenaan.

"Kita perlu melihat setiap kes. Adakah kenaikan itu berlaku kerana berlaku kesalahan pengiraan daripada TNB, atau ia kesan penggunaan elektrik secara tidak bertanggungjawab oleh pengguna itu sendiri.

"Yang pasti, dalam perbincangan dengan CASSA, TNB memberi jaminan akan bantu apa yang boleh mereka tolong, dan saya melihat pengumuman potongan ini menggambarkan jaminan itu," katanya.

Sementara itu, seorang pensyarah swasta, Mohd Afifi Yahaya, 31, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas potongan itu dan mengakui ia meringankan bebannya susulan peningkatan bil elektrik kediamannya hampir 10 kali ganda.

"Sebelum PKP, bil elektrik rumah saya hanya sekitar RM30 hingga RM40, namun saya terkejut apabila bil bagi Jun mencecah hampir RM350.

"Saya akui bil akan naik kerana penggunaan elektrik bertambah sewaktu PKP, namun kenaikannya terlalu banyak. Sehubungan itu, potongan ini memang amat dinantikan," katanya.

Bagi pegawai perhubungan awam swasta, Nur Affifah Baharim, 28, mengakui pengumuman kerajaan itu tepat pada masanya ketika dia buntu memikirkan mengenai perbelanjaan tambahan bulanan berikutan peningkatan bil elektrik kediamannya.

"Saya berterima kasih dan berharap TNB dan kerajaan akan berusaha untuk mencari kaedah mengurangkan bil elektrik sepanjang tahun ini, khususnya kepada mereka yang kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/702341/potongan-bil-elektrik-ringankan-beban-pengguna