Print
Category: FOMCA di pentas media 2021

Malaysian Association of Standards Users | Apollo7 September 2020 l Isnin

Pada Jun 2020, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan pemakaian pelitup muka adalah wajib jika penjarakkan sosial tidak dapat dilakukan. Malah pelitup muka jenis fabrik juga dibenarkan oleh pihak WHO tetapi ianya mesti mempunyai 3 lapisan. Berikutan itu, pada 1 Ogos yang lalu, pihak Kerajaan telah menetapkan semua rakyat Malaysia wajib memakai pelitup muka apabila berada di dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak.

Rakyat mula terdesak untuk memakai pelitup muka kerana tidak mahu didenda. Namun begitu, jika pelitup jenis bukan perubatan ini tidak dipantau oleh mana-mana pihak yang berkaitan, besar kemungkinan ada pihak yang mula mengambil kesempatan dengan menjual pelitup muka yang tidak berkualiti atau substandard kepada pengguna.

Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users) amat bersetuju dengan kenyataan Dr. Noor Hisham di dalam MalaysiaKini bertarikh 29 Julai 2020 yang menyatakan pihak Kerajaan akan memeriksa keberkesanan pelitup muka kain yang sebenarnya seperti saranan WHO yang mesti mempunyai tiga lapisan dalam tempoh satu bulan ini.

 

Jika pengguna diberi pilihan untuk membeli pelitup muka jenis fabrik yang disahkan selamat, semestinya penggunaan ini dapat mengurangkan perbelanjaan pengguna kerana pengguna boleh mencuci dan memakainya semula.

Memetik kenyataan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dari New Straits Times yang bertarikh 25 Ogos 2020, Datuk Alexander Nanta Linggi yang menyatakan terdapat 10 buah pengilang yang mengeluarkan pelitup muka sebanyak 1.5 juta sehari malah akan ada 4 buah pengilang akan mula beroperasi pada bulan Oktober. Namun begitu, Standards Users memerlukan kepastian mengenai piawaian standard pelitup muka yang digunapakai oleh pengilang tempatan ini supaya pelitup muka diyakini selamat untuk pengguna.

Jika pelitup muka keluaran tempatan ini dikeluarkan khas untuk para petugas perubatan maka tiada kemusykilan mengenai perkara ini kerana ia berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) tetapi jika untuk orang awam pastinya akan menjadi persoalan kerana pelitup muka bukan perubatan tidak tertakluk di bawah mana-mana pihak berkuasa.

Daripada pemerhatian Standards Users, kebanyakan penjual pelitup muka dalam talian menjual pelitup muka yang diimport dari negara China di mana standard piawaian bagi pelitup muka tersebut adalah YY/T 0969-2013 (Disposable medical mask), GB/T 32610-2016 (Technical specifications of daily protective masks), YY 0469-2011 (Medical surgical mask) dan lain-lain lagi.

Namun begitu, Standards Users dapati pelbagai jenis perkataan yang ditulis pada kotak pelitup muka yang tidak berselari dengan kod standard China sebagai contoh kotak pelitup muka yang dibeli dari sebuah farmasi di Lembah Klang yang bertulis YY/T 0969-2013 Medical Face Mask tetapi menurut kod standard China YY/T 0969-2013 adalah Disposable medical mask. Malah banyak juga yang tiada sebarang label kod standard pada kotak topeng muka dari China yang mana perkara ini akan menjadi kesukaran untuk Standards Users mengenalpasti jenis-jenis topeng muka yang terjual di pasaran Malaysia. Selain itu, Standards Users juga difahamkan harga pelitup muka adalah berbeza berdasarkan jenis pelitup muka.

Berdasarkan temubual Standards Users bersama pengguna, rata-rata pengguna mengaku tiada pendedahan yang jelas mengenai jenis-jenis pelitup muka yang bersesuaian dalam melindungi diri daripada wabak Covid-19. Pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan informasi yang tepat mengenai sesuatu produk supaya mereka mempunyai pilihan untuk memilih sesuatu produk berdasarkan keperluan diri dan kos kewangan masing-masing.

British Standards Institution (BSI) ada mengeluarkan garis panduan untuk pemakaian pelitup muka pada musim wabak Covid-19. Berdasarkan garis panduan ini terdapat 2 standard piawaian iaitu EN 14683:2019+AC:2019 Surgical face mask dan EN 149:2001+A1:2009 Protective face mask. Surgical face mask ini diperakui oleh European Medical Devices Regulation, yang mana di Malaysia pelitup muka jenis ini adalah di bawah bidang kuasa MDA. Manakala untuk pelitup muka jenis Protective face mask perlu mematuhi peraturan European Personal Protective Equipment (PPE) tetapi di Malaysia buat masa ini, tiada badan yang mengawal selia pelitup muka jenis Protective face mask atau bukan perubatan.

Berikutan pengumuman pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh YAB Tan Sri Muhyiddin juga telah memberi isyarat bahawa pemakaian pelitup muka adalah wajib sehingga Disember 2020. Standards Users amat bersetuju dengan kenyataan YAB Perdana Menteri untuk menurunkan harga pelitup muka supaya pengguna tidak terbeban dengan kos tambahan perlindungan diri tersebut. Namun begitu, Standards Users menggesa pihak-pihak yang berkaitan untuk memantau penjualan pelitup muka dengan lebih ketat baik dalam talian mahupun di kedai-kedai fizikal supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan ini dengan menjual pelitup muka yang murah tetapi tiada kualiti untuk kegunaan perlidungan pengguna.

Pemakaian pelitup muka yang tidak berkualiti atau substandard tidak diyakini dapat melindungi si pemakai dan pengguna di sekelilingnya daripada penyebaran virus Covid-19. Semua pihak perlu diingatkan bahawa pemakaian pelitup muka ini adalah untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 apa lagi banyak mangsa yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan. Perkara ini jelas menunjukkan semua pengguna perlu memakai jenis pelitup muka yang berkualiti mengikut saranan WHO selain kerap mencuci tangan dan elakkan diri daripada tempat yang sesak,

PROF EMERITUS DATUK DR MARIMUTHU NADASON
PRESIDEN
PERSATUAN PENGGUNA-PENGGUNA STANDARD MALAYSIA (STANDARDS USERS)