Isnin, 3 Ogos 2020 | 12:06pm
KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat peminjam wang dikesan menyasarkan pelanggan dalam kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan mengeluarkan caruman penuh atau dari Akaun 2 dengan menawarkan pinjaman mudah lulus.

Menggunakan nama skim sebagai 'pinjaman KWSP', syarikat berkenaan menawarkan pinjaman bagi mereka yang akan mengeluarkan caruman penuh iaitu pada usia 54 dan 55 tahun serta pengeluaran Akaun 2 berusia 49 dan 50 tahun.

Kaedah itu seperti mendahulukan wang caruman kepada peminjam dan dibayar balik apabila caruman dikeluarkan, tetapi tidak dinyatakan kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan.

Syarikat terbabit dikesan mengiklankan skim 'pinjam dahulu, bayar kemudian' pada laman sosial dengan pelbagai taktik bagi mengumpan pelanggan, antaranya menggunakan nama ala Arab, memaparkan gambar gadis bertudung dan logo KWSP.

Tinjauan di beberapa laman media sosial mendapati pelanggan ditawarkan pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 dengan jaminan bayaran pinjaman penuh dan kadar faedah 'berpatutan'.

Malah, ada yang mendakwa mereka adalah syarikat atau ejen pinjaman peribadi yang berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kaedah pinjaman sedemikian bercanggah daripada tujuan asal caruman KWSP dilakukan.

Malah, katanya, FOMCA bimbang ia mendedahkan pencarum KWSP kepada bahaya lebih buruk kerana akan dibebani hutang yang tinggi susulan kadar faedah berlipat ganda, sementara menunggu caruman KWSP dibenarkan dikeluarkan pada usia tertentu.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, pula berkata tindakan syarikat peminjam wang berlesen menggunakan logo KWSP boleh mengelirukan peminjam dan orang ramai seolah-olah ia satu pengesahan untuk meraih kepercayaan peminjam baharu.

"Kaedah pinjaman menggunakan caruman KWSP ini juga bercanggah dengan falsafah simpanan dalam kumpulan wang simpanan itu iaitu untuk kegunaan hari tua atau mengurangkan pinjaman seperti perumahan pada usia 50 tahun," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Semakan BH mendapati, peminjam hanya perlu menyerahkan slip gaji bagi tempoh sebulan untuk mengenal pasti had pinjaman yang boleh dimohon, selain ada jaminan jika semua dokumen mencukupi, pinjaman akan dilulus dalam tempoh sejam hingga 24 jam, malah peminjam yang disenarai hitam juga boleh memohon.

Selain pencarum KWSP yang akan mengeluarkan simpanan dalam tempoh enam bulan, ia juga menawarkan pinjaman seperti biasa kepada penjawat awam, kakitangan swasta atau pesara.

Semakan di laman web mendapati mereka juga menggunakan logo Kredit Komuniti, dipercayai merujuk kepada Bahagian Kawalan Kredit Komuniti iaitu penjenamaan semula Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai di KPKT sejak 1 Jun 2019.

Untuk lebih meyakinkan peminjam, syarikat terbabit juga menyertakan beberapa gambar kaunter dan pejabat syarikat, selain video pendek mengenai operasi mereka.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/717440/pencarum-kwsp-sasaran-syarikat-peminjam-wang