ADUAN yang diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) antara 2010 hingga 2013, yang membabitkan sektor automotif, adalah mengenai kerosakan kenderaan dan perkhidmatan bengkel, yang menerima jumlah aduan dianggarkan nilai kerugiannya sebanyak RM135 juta.

Kes kemalangan jalan raya di negara kita juga semakin menjadi-jadi. Apa yang lebih membimbangkan apabila ia membabitkan nyawa orang yang tidak bersalah akibat kecuaian manusia dan juga kesilapan teknikal kenderaan itu sendiri. Tahun 2014 mencatat 476,196 kes kemalangan jalan raya, manakala pada 2015 sebanyak 489,606 kes, iaitu meningkat 13,410 kes.

Begitu juga, kita dikejutkan dengan penemuan tayar celup palsu yang tidak mempunyai label keselamatan SIRIM. Ia amat berbahaya kepada pemandu terbabit dengan kemalangan, dan juga nyawa orang tidak bersalah yang menggunakan jalan raya sama.

Tayar celup palsu yang tidak mematuhi standard ditetapkan berisiko untuk meletup dan berisiko untuk terbabas, malah boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Apatah lagi penggunaan tayar celup palsu sering menjadi sasaran pemandu kenderaan berat dengan alasan untuk mengurangkan kos perbelanjaan.

 

Banyak syor belum dilaksana

Rentetan daripada peristiwa tragedi kemalangan bas di Genting Highlands pada 2013, ada 51 cadangan dibuat oleh Panel Penasihat Bebas, yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan. Namun begitu, masih banyak cadangan yang belum dilaksanakan. Tragedi Bukit Gantang, Simpang Pulai (Cameron Highlands), Genting Highlands dan Terowong Menora akan terus berlaku sekiranya cadangan-cadangan itu terus diabaikan.

Selain itu, wujud banyak pertindihan punca kuasa antara agensi kerajaan yang berkaitan dengan jalan raya. Sebagai contoh, kenderaan berat seperti lori dan bas dikawal selia oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

Begitu juga wujud percanggahan mengenai berat beban yang dibenarkan untuk sesebuah kenderaan antara SPAD dan Kementerian Pengangkutan. Ada juga pertindihan kuasa dalam isu tayar membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan JPJ.

Menyedari isu keselamatan jalan raya yang semakin meruncing pada masa ini, Persatuan Pengguna Standard Malaysia (Standards Users) dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) dan disokong oleh Kementerian Pengangkutan akan menganjurkan persidangan antarabangsa Jawatankuasa Dasar Pengguna ISO (ISO COPOLCO) kali ke-39 bertemakan keselamatan jalan raya dan kenderaan.

72 negara bersidang

Persidangan ISO COPOLCO ini akan diadakan mulai hari ini hingga Khamis di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Sebanyak 72 negara yang terbabit secara aktif di dalam ISO COPOLCO antaranya ialah Brazil, Austria, Bahrain, Indonesia, Jepun, Kanada, dan sebagainya. Pada tahun ini, dianggarkan kira-kira 100 orang wakil dari negara luar akan menghadiri persidangan ISO COPOLCO ini.

ISO COPOLCO ialah Jawatankuasa Dasar Pengguna ISO yang diwakili oleh wakil daripada badan standard kebangsaan dan persatuan pengguna dari seluruh negara. ISO COPOLCO adalah salah satu jawatankuasa dasar pembangunan selain daripada CASCO (Penilaian Pematuhan) dan DEVCO (Perkara-perkara Negara yang Membangun) yang melaporkan kepada Majlis ISO yang mentadbir pelaksanaan pelan strategik ISO dan dasarnya.

ISO COPOLCO berperanan sebagai penasihat kepada Majlis ISO mengenai isu kepenggunaan berkaitan dengan pembangunan standard antarabangsa termasuk dibangunkan di dalam Jawatankuasa Teknikal ISO seperti ISO/TC 222 Keselamatan Kenderaan dan ISO/TC 204 Sistem Pengangkutan Pintar.

Jabatan Standard Malaysia atau lebih dikenali sebagai Standards Malaysia ialah sebuah agensi di bawah bidang kuasa Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) yang ditubuhkan pada 28 Ogos 1996. Sejak penubuhannya, Standards Malaysia sudah menjalankan peranan berkanun dalam standardisasi dan akreditasi serta dalam melaksanakan tugas dan fungsinya, ditadbir oleh Akta Standard Malaysia 1996 (Akta 549).

Standards Malaysia juga adalah Badan Standard Kebangsaan dan Badan Akreditasi Kebangsaan, memberi keyakinan penuh kepada pihak yang berkepentingan, menerusi perkhidmatan standardisasi dan akreditasi yang boleh dipercayai untuk persaingan global.

Standards Malaysia wakil negara

Standards Malaysia mewakili Malaysia dalam setiap mesyuarat ISO dan ISO COPOLCO. Persidangan ISO COPOLCO yang diadakan pada setiap tahun ini turut dihadiri agensi-agensi kerajaan yang mempunyai kaitan dengan standard seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan wakil pengguna, yang diwakili oleh Standards Users. Buat pertama kali dalam sejarah ISO COPOLCO, apabila pengerusi ISO COPOLCO bagi sesi 2014 hingga 2017 adalah dilantik dalam kalangan wakil NGO, iaitu Ratnadevi Nadarajan, yang juga Setiausaha Agung Standards Users. Biasanya pengerusi ISO COPOLCO dilantik dalam kalangan wakil dari Badan Standard Kebangsaan. Persidangan ISO COPOLCO pada 2017 ini adalah kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah. Kali pertama ialah pada 2006. Persidangan ini amat penting kerana ia akan mencerminkan keprihatinan kerajaan Malaysia dalam isu berkaitan keselamatan jalan raya, terutama membabitkan pengguna. 

Oleh :-  Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia

sumber ;- https://www.bharian.com.my/node/283038