File:Empty milk bottle.jpg

Susulan penemuan susu formula tiruan jenama Enfalac A+ Langkah 1 pada hujung tahun lalu (2017) dan juga isu yang terbaru pada awal tahun ini (2018) iaitu pengambilan susu formula jenama Dutch Lady Curious yang dikatakan telah menyebabkan bayi mengalami simptom muntah-muntah, cirit birit dan ruam.

Adakah benar insiden susu formula tiruan ini adalah sangat rendah seperti yang dikatakan oleh sesetengah pihak jika dalam tempoh 2 bulan sahaja Malaysia kembali dikejutkan dengan penemuan susu formula yang telah memberi kesan yang mudarat kepada bayi? Insiden seperti ini secara tidak langsung telah menyebabkan keyakinan ibubapa terhadap susu formula yang bersusun di rak pasaraya sedikit terhakis.

Ingin diingatkan kembali, 10 tahun yang lalu (2008), masyarakat dunia dikejutkan dengan penemuan susu formula yang mengandungi Melamine di negara China yang mana sekurang-kurangnya 6 orang bayi telah meninggal dunia dan lebih daripada 1,300 orang bayi (kebanyakannya adalah bayi yang baru lahir) telah menderita kegagalan buah pinggang.

Pada tahun 2004 pula,

akibat pengambilan susu formula tiruan, lebih kurang 12 orang bayi telah meninggal dunia dan lebih daripada 200 orang bayi telah menderita akibat masalah malnutrisi di China.

Ianya jelas menunjukkan ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin menjimatkan kos bahan malah lebih teruk sanggup meningkatkan kandungan Melamine ke dalam susu formula tiruan hanya untuk menghasilkan protein buatan.

Pihak kami khuatir jika ada pihak yang tertekan dengan masalah ekonomi turut sanggup menghasilkan susu formula tiruan di dalam pasaran Malaysia. Jika pihak berwajib tidak mengekang masalah seperti ini di Malaysia dari awal, Malaysia juga tidak akan terlepas dari isu skandal susu formula tiruan seperti yang berlaku di negara China.

Segala hasil laporan siasat mengenai isu seperti ini perlulah telus dan perlu dikongsikan kepada seluruh rakyat Malaysia agar lebih teliti dan berwaspada dengan susu formula yang sedia ada di pasaran. Selain itu, pengawasan pasaran (market surveillance) oleh pihak berkuasa mahupun pihak pengeluar juga perlu dipertingkatkan untuk mengekang masalah susu formula tiruan daripada terus berleluasa.

Akhir kata, jangan biarkan anak-anak kecil anda dari terus menjadi mangsa skandal susu formula tiruan ini. Jika terdapat kekeliruan dengan bungkusan susu formula atau anak mula mengalami simptom yang tidak sihat selepas pengambilan susu formula berkenaan, ibubapa dinasihatkan untuk melaporkan perkara berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pihak pengeluar produk atau terus ke pusat aduan kami iaitu, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional sebelum menularkannya di laman sosial.

NUR ASYIKIN BINTI AMINUDDIN
PERSATUAN PENGGUNA-PENGGUNA STANDARD MALAYSIA (STANDARDS USERS)