Setiap kali anda pergi ke pasar raya besar, anda menghadapi masalah untuk memilih produk yang menawarkan harga lebih baik. Pasar raya menawarkan pelbagai jenis produk dengan jenama dan saiz yang berbeza. Pasar raya juga sering menawarkan pembelian produk secara pukal yang mengandungi dua atau lebih produk dalam satu pek.

Kesukaran ialah tiada harga yang diletakkan bagi seunit produk tersebut. Anda terpaksa mengira sendiri bagi menentukan sama ada anda boleh mendapat penjimatan apabila membeli satu produk atau membeli secara pukal.

Apakah itu harga seunit?

Harga seunit ialah harga yang mewakili berat atau isi padu yang memudahkan pembeli membandingkan kos sebenar barangan walaupun dalam saiz yang berlainan.

Harga seunit mengandungi harga dalam unit ukuran yang tertentu, selain harga jualan. Dengan menggunakan unit ukuran standard, pembeli dapat membandingkan harga produk tanpa mengambil kira saiz atau jenama. Harga seunit boleh dibuat bagi seliter, sekilogram, setiap 100 mililiter, setiap 100 gram, setiap 10 gram dan sebagainya, tertakluk kepada jenis produk.

Harga seunit juga tidak memerlukan pembeli membuat pengiraan yang rumit untuk mengetahui barangan yang memberi tawaran harga yang terbaik. Dengan meletakkan harga seunit  ini, seseorang pembeli dapat mengenal pasti pembelian yang terbaik.

Sebagai contoh, satu beg serbuk pencuci pakaian berjenama A berukuran 4 kilogram dijual pada harga RM15.05 atau satu beg serbuk pencuci berjenama yang sama seberat 2.5 kilogram yang dijual pada harga RM10.99. Mengikut pengiraan, harga seunit bagi beg pencuci 2.5kg adalah RM 3.76 sekilogram manakala harga seunit beg pencuci 1.5 kilogram adalah RM 4.40.

Perbandingan ini memberi sedikit sebanyak maklumat bahawa membeli beg pencuci 4 kilogram yang memberi akan memberi penjimatan sebanyak RM 0.64 untuk setiap kilogram. Harga seunit membantu pembeli membandingkan nilai barangan dalam pelbagai saiz dan jenama tanpa memerlukan kalkulator. Ia begitu mudah dirujuk untuk mengetahui berapa yang perlu dibayar  bagi setiap 100 gram bagi sesuatu produk.

Mengapa Harga Seunit Perlu

Pengguna ada pilihan yang luas apabila membuat keputusan apa yang dibeli. Pilihan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, seperti rasa, pilihan makanan, kesihatan, sosial atau kesan persekitaran, termasuk harga.

Perbandingan harga adalah lebih rumit kerana ada pelbagai barang yang berlainan jumlahnya, jenis barangan dan unit simpanan stok, yang sering didapati oleh pengguna di pasar raya dan kedai runcit. Harga seunit juga membantu pengguna mengetahui nilai barangan dengan cepat apabila membandingkan barangan sama, tetapi dibungkus dengan pelbagai saiz atau jenama.

Pasar raya dan kedai runcit besar perlu memaparkan tanda harga seunit. Peruncit secara atas talian, yang menjual pelbagai jenis barangan makanan dan runcit juga perlu memaparkan harga seunit. Sebagai contoh, aplikasi telefon iaitu Smartshopper telah diperkenalkan oleh Blue Tangent dengan kerjasama Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standards Users).

Aplikasi ini yang boleh dimuat turun dari Playstore atau Itunes, memberi maklumat terhadap produk yang dijual di pasar raya dengan harga jualan dan harga seunit. Aplikasi ini membantu pengguna untuk menyemak terlebih dahulu produk mana yang menawarkan harga yang terbaik.

Bagi membantu dalam pelaksanaan harga seunit ini, sebuah jawatankuasa kebangsaan telah dibentuk, yang dianggotai oleh pelbagai pihak berkepentingan, seperti pasar raya, FAMA, SIRIM, persatuan pengguna dan sebagainya. Jawatankuasa ini sedang menggubal satu standard antarabangsa untuk memudahkan peniaga untuk memperagakan harga produk, termasuk harga seunit.

Di beberapa buah negara, seperti negara-negara Eropah, Amerika dan Australia, yang telah mempunyai undang-undang tentang harga seunit. Peniaga di negara-negara tersebut sentiasa menambah baik kualiti harga seunit dan membuat pembaharuan terhadap undang-undang/garis panduan yang sedia ada.

Di bawah price marking order, peniaga perlu mematuhi keperluan undang-undang untuk memaparkan kedua-dua harga jualan dan harga seunit pada label di rak produk makanan atau minuman.

Pada masa ini Malaysia belum mewajibkan penggunaan harga seunit pada tnda harga produk. Namun jika ia dilaksanakan, ia dapat membantu pengguna dalam membuat perbandingan tentang harga produk secara yang lebih baik.

Secara tidak langsung ini juga dapat membantu pengguna menjimatkan perbelanjaan kerana mereka membeli produk yang menawarkan harga yang terbaik.

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason

Sumber : Berita Harian - Rencana - 10 Februari 2016 (Rabu)