Modal serendah RM 5 dan boleh untung RM 65 dalam tempoh lima hari. Itulah antara tarikan skim pelaburan ‘kaya sempoi’ menggunakan aplikasi WhatsApp.

Sehingga kini lebih 100 mangsa yang melabur skim itu kerugian mencecah nilai lebih RM 50, 000.

Sindiket penipuan didalangi dua lelaki itu dikatakan aktif mencari mangsa melalui laman sosial Facebook (FB) sebelum memasukkan mangsa ke dalam kumpulan WhatsApp dan berkongsi pelbagai skim pelaburan.

Bagaimanapun, dua individu itu meninggalkan kumpulan WhatsApp menyebabkan mangsa berputih mata sehari sebelum menerima bonus dijanjikan.
Berdasarkan temu bual dengan mangsa, ada individu yang melabur antara RM 100 hingga RM 600 menjadikan jumlah kerugian mencecah RM 50,000.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifah, 35, berkata, dia terjebak pelan pelaburan berkenaan melalui iklan di FB sebelum meninggalkan nombor telefon di laman sosial itu.

Katanya, dalam tempoh beberapa minit, dia terus dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dikendalikan suspek sebelum ditawarkan skim pelaburan menarik.

“Selepas menjawab beberapa persoalan, saya dan beberapa lagi ahli kumpulan itu membuat pelaburan dengan memasukkan duit ke dalam akaun bank suspek dikenali dengan nama Sempoi.

“Tidak cukup dengan itu, kami terus ‘digula-gulakan’ dengan pelbagai skim yang menjanjikan keuntungan lumayan termasuk pelaburan emas yang memberi pulangan sehingga RM 300 bagi setiap pelaburan,” katanya.

Menurutnya, sindiket berkenaan menjanjikan pembayaran balik serta keuntungan kepada pelabur di dalam kumpulan berkenaan pada jam 12 tengah malam 5 Mac lalu.

Bagaimanapun kedua-dua lelaki itu meninggalkan kumpulan WhatsApp tepat jam 11.15 malam membuatkan pelabur terkejut dan cubaan menghubungi nombor telefon suspek gagal.

“Kami semua ditipu dengan mudah dan tidak menyangka keadaan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Hamzah Alias mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.


Sumber : Harian Metro – 9 Mac 2016 (Rabu)