Ketahui Ubat Anda - 1 Ketahui Ubat Anda - 2

1. Ketahui ubat yang selamat melalui Hologram & nombor pendaftaran MAL

Kehadiran hologram Meditag dan nombor MAL dalam pembungkusan ubat menunjukkan ubat  tersebut berdaftar dengan PKBD (Pihak Berkuasa Kawalan Dadah), Kementerian Kesihatan. Terdapat dua cara untuk memeriksa kesahihan pelabelan :

  • Untuk Meditag, pengguna boleh menggunakan dekoder Meditag. Decoder Meditag ini dibekalkan kepada semua farmasi berlesen di seluruh Malaysia. 
  • Untuk nombor MAL, pengguna boleh menyemak menggunakan Pangkalan Data Quest di Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan di http://portal.bpfk.gov.my/. Kementerian Kesihatan juga telah mencipta satu aplikasi mudah alih yang dipanggil MediQuest untuk kemudahan pengguna memeriksa ketika berada di farmasi atau peruncit. 
  • Walaupun pangkalan data ini boleh membantu pengguna membuat pilihan yang tepat, mereka boleh menentukan jenis ubat dengan panduan yang mudah ini: 

    Tanda abjad A pada akhir no. MAL = Racun Berjadual

    Tanda abjad X pada akhir no. MAL = Racun tidak berjadual (OTC)

    Tanda abjad T pada akhir no. MAL = Tradisional

    Tanda abjad N pada akhir no. MAL = Suplemen

2. Ketahui Cara Mengambil Ubat Yang Betul

(Dos yang Betul, Masa yang Betul & Tempoh Mengambil Ubat-ubatan)

Pengguna perlu mengambil inisiatif untuk mengetahui cara yang betul dalam pengambilan ubat. Kebiasaannya, doktor dan ahli farmasi akan memberitahu fungsi bagi setiap ubat-ubatan dan menjelaskan masa dan tempoh mengambil ubat yang betul. Sebagai contoh antibiotik, pengguna biasanya diminta untuk menghabiskannya walaupun keadaan mereka semakin baik. Pengguna perlu bertanya jika tidak pasti tentang ubat, memahami hubungan antara dos ubat-ubatan dan kesihatan / penyakit yang dirawat.

3. Ketahui Sumber Anda

(Yakin dengan sumber pembelian anda)

Pengguna perlu yakin dengan sumber ubat yang mereka beli. Pengguna dinasihatkan untuk membeli ubat-ubatan dari farmasi yang berlesen atau melalui doktor mereka. Elakkan daripada membeli dari internet kerana sumber atau status penjual diragui. Ini termasuklah membeli ubat di kaki lima atau pasar malam.

4. Ketahui Kesan Sampingan

Pengguna perlu mengetahui apakah kesan sampingan ubat-ubatan yang mereka ambil. Sebagai contoh, sesetengah ubat selesema boleh menyebabkan rasa mengantuk, dan biasanya doktor atau ahli farmasi akan menasihatkan anda supaya tidak memandu kenderaan selepas mengambil ubat tersebut. Mengetahui tentang kesan ubat tersebut terhadap gaya hidup anda adalah penting kerana kerana ia memberi peluang untuk anda bersedia, dan dapat menyelamatkan nyawa.

5. Ketahui Masa untuk Mengambil Ubat Antibiotik

(Minta nasihat daripada pengamal perubatan)

Antibiotik adalah ubat yang penting untuk merawat jangkitan bakteria kepada manusia dan haiwan. Walau bagaimanapun, bakteria boleh menyesuaikan diri dan mencari cara untuk terus hidup hasil daripada kesan antibiotik. Ini bermakna antibiotik akan hilang keberkesanannya apabila penggunaannya meningkat. Semakin banyak antibiotik yang digunakan, maka semakin besar peluang untuk bakteria untuk menjadi kebal kepada antibiotik. Ini menyebabkan antibiotik tersebut tidak lagi berfungsi untuk merawat jangkitan. Bagi  melambatkan perkembangan rintangan antibiotik, pengambilan antibiotik yang betul  amat penting - gunakan ubat, dos, masa dan tempoh yang betul. Antibiotik perlu diambil sebagaimana yang ditetapkan, dan tidak boleh disimpan untuk digunakan kemudian atau berkongsi dengan orang lain.

6. Ketahui Alternatif Anda

Pengguna perlu meneroka alternatif lain untuk ubat-ubatan mereka. Alternatif tersebut sama ada menggunakan ubat-ubatan jenama lain pada harga yang lebih murah tetapi mempunyai kesan yang sama, atau ubat generik dan lain-lain. Pengguna perlu sentiasa berfikiran terbuka. Rujuk ahli farmasi dan doktor untuk mendapatkan nasihat semasa membuat pilihan ubat-ubatan. Memilih alternatif yang lebih murah boleh membantu pengguna menjimatkan wang dalam jangka masa panjang.