Semua syarikat konsesi lebuh raya digesa memberi lebih insentif seperti rebat atau mata ganjaran kepada pengguna kad Touch 'n Go (TnG) dan SmartTAG.

Setakat ini, hanya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) menawarkan rebat lima peratus, selain mata ganjaran menerusi program PLUSMiles kepada kenderaan persendirian.

Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata Persatuan Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) wajar memberikan insentif di semua lebuh raya apabila sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) dikuatkuasakan di semua lebuh raya pada 2017.

 Beliau berkata, desakan itu dinyatakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai yang mahu lebih banyak insentif diberikan bagi meringankan beban pengguna.

"Lebih bagus jika kepada pengguna TnG dan SmartTAG supaya perbelanjaan tol mereka lebih jimat. Rebat sepatutnya dikreditkan secara automatik dalam akaun pengguna tanpa perlu ke Pusat Khidmat Pelanggan PLUS.

Tak Perlu Beratur Panjang

"Justeru, pengguna tidak perlu beratur panjang untuk menuntut rebat, malah kos operasi kakitangan di pusat khidmat pelanggan boleh dimansuhkan," katanya kepada BH, semalam. 

Kelmarin, BH melaporkan rungutan sama ada pengguna lebuh raya sudah bersedia menerima pelaksanaan ETC secara menyeluruh menjelang 2017 dan manfaatnya menerusi pelbagai bentuk penjimatan yang bakal dinikmati orang ramai. 

Turut didedahkan kesesakan di beberapa lebuh raya utama yang menggunakan sistem ETC. la dipercayai berpunca daripada beberapa kepincangan penggunaan SmartTAG dan TnG seperti kerosakan peranti, baki tidak mencukupi serta masalah teknikal.

Mohd Yusof turut mencadangkan supaya kad TnG digabungkan dengan kad debit akaun bank bagi menangani kesesakan di laluan tambah nilai di plaza tol dan isu baki tidak mencukupi.

Katanya, kios tambah nilai di kawasan yang beroperasi 24 jam seperti Rehat dan Rawat (R&R) terpilih juga perlu di tambah untuk memudahkan pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Salleh, menjelaskan perbincangan dengan syarikat konsesi untuk menambah insentif kepada pengguna sudah berlangsung sejak tahun lalu.

Beri Penjimatan

Setakat ini, usaha itu mendapat reaksi positif syarikat konsesi lebuh raya kerana peralihan kepada ETC memberi lebih penjimatan dalam jangka panjang.

“Justeru, adalah wajar syarikat konsesi merangka pemberian insentif bersesuaian kepada pengguna sama ada dalam bentuk rebat tunai atau pulangan lain,” katanya.

Setiausaha Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri mahu insentif tambahan diberikan kepada pengguna kenderaan perdagangan jika sistem ETC dilaksanakan.

Sumber : Berita Harian – Nasional – 17 Mac 2016 (Khamis)