Saban tahun, kemalangan yang melibatkan penggunaan eskalator semakin menjadi-jadi  di Malaysia. Terdapat beberapa kemalangan tersebut yang menyebabkan kematian kanak-kanak.  Namun, kita masih belum mengambil iktibar daripada kemalangan maut tersebut. Malah, penggunaan eskalator di Malaysia telah menjadi semakin “berhantu” kepada pengguna. Di manakah silapnya? Apakah tindakan yang sepatutnya diambil daripada siri kemalangan tersebut?

Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, ataupun Akta OSHA 1994, ia menjadi tanggungjawab majikan, iaitu pemilik bangunan untuk memastikan kebajikan serta keadaan tempat kerja yang selamat. Oleh itu, pihak pemilik bangunan seperti bangunan pejabat, pusat membeli-belah, mahupun pusat pengangkutan awam sepatutnya perlu lebih prihatin dan peka akan tahap keselamatan eskalator di dalam bangunan masing-masing. Apabila kita yang membina sesuatu bangunan tersebut, kita perlu bertanggungjawab dalam penyelenggaraan eskalator yang terdapat di dalam bangunan itu sendiri. Pihak yang berkenaan perlu sentiasa pantau keadaan eskalator bagi memastikan ianya selamat untuk diguna.

Di Malaysia, terdapat standard yang boleh digunapakai untuk eskalator iaitu MS 1918-1:2011 Safety of Escalators and Moving Walks- Part 1: Construction and Installation (First Revision). Manakala International Organization for Standardization (ISO) pula, antara standard untuk eskalator,  ialah ISO 9589:1994 Escalators- Building dimensions, ISO 14798:2009 Lifts (elevators),escalators and moving walks- Risk assessment and reduction methodology, ISO 22201-2:2013 Lifts (elevators), escalators and moving walks- Programmable electronic systems in safety related applications- Part 2: Escalators and moving walks (PESSRAE), dan ISO 25745-3:2015 Energy performance of lifts, escalators and moving walks- Part 3: Energy calculation and classification of escalators and moving walks.

Jika standard berkenaan digunapakai dalam pengurusan eskalator, tahap keselamatan eskalator akan lebih terjamin. Walaubagaimanapun, para pengguna juga perlu lebih berhati-hati ketika mengguna eskalator kerana kemalangan tidak mengenal tempat. Antara cadangan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dalam memastikan keselamatan pengguna ketika menaiki eskalator ialah berdiri di tengah muka tangga iaitu dalam kawasan tangga eskalator di mana sempadannya diwarnakan kuning dan berpegang pada handrail dan elakkan berdiri di tepi muka tangga bagi mengelakkan kaki tersepit. Pengguna juga perlu peka dengan kedudukan butang kecemasan (STOP button) yang berwarna merah yang terdapat di hujung eskalator jika berlaku sebarang kecemasan.

Jika segala standard keselamatan eskalator dipatuhi oleh pemilik bangunan dan pengguna juga sentiasa berhati-hati ketika mengguna eskalator, sebarang kecelakaan pasti dapat dielakkan. Pihak pemilik bangunan mahupun pengguna perlu lebih sensitif dalam memastikan penggunaan eskalator dijamin selamat.

NUR ASYIKIN BINTI AMINUDDIN
PERSATUAN PENGGUNA-PENGGUNA STANDARD MALAYSIA (STANDARDS USERS)