Pada bulan Oktober 2015, Berita Harian telah menyiarkan siri pendedahan tentang penyalahgunaan antibiotik dalam perubatan, apabila ia mudah dibeli di farmasi tanpa memerlukan preskripsi daripada doktor. Begitu juga, didedahkan tentang penggunaan antibiotik yang tidak dikawal di ladang penternakan.

Isu penggunaan antibiotik, bukan sahaja membimbangkan masyarakat Malaysia, tetapi juga masyarakat antarabangsa. Justeru, Consumers International telah mengangkat isu tentang antibiotik sebagai tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2016, iaitu `Antibiotics Off the Menu’, atau terjemahannya, `Jangan Gunakan Antibiotik Dalam Menu Makanan’.

Hari Hak-hak Pengguna Sedunia disambut pada setiap 15 Mac, bermula pada tahun 1983. Tarikh ini sebagai memperingati ucapan yang disampaikan oleh John F. Kennedy, Mantan Presiden Amerika Syarikat di Kongres Amerika Syarikat pada 15 Mac 1962. Semenjak itu, ia telah menjadi acara tahunan kepada semua pergerakan pengguna antarabangsa yang bergabung dengan Consumers International.

Antibiotik digunakan di ladang ternakan untuk mencegah jangkitan penyakit. Selain itu, ia juga digunakan sebagai perangsang untuk pembesaran haiwan tersebut. Antibiotik biasanya digunakan pada ayam dan babi. Antibiotik yang digunakan pada haiwan ini adalah sama jenis dengan antibiotik yang diberikan kepada manusia.

Hampir separuh daripada antibiotik yang dihasilkan di serata dunia digunakan dalam sektor penternakan. Pada tahun 2010, penggunaan antibiotik di sektor penternakan dunia ialah 63,200 tan. Dijangkakan jumlah ini akan bertambah kepada 105,600 tan pada tahun 2030.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2012, separuh daripada ayam tempatan kebal kepada ampicillin, sulphonamide dan tetracycline. Manakala bagi ayam import, 80 peratus daripadanya kebal kepada ampicillin, 75 peratus kebal kepada asid nalidixis dan 50 peratus kebal kepada streptomycin dan sulphonamide.

Penggunaan antibiotik yang tidak mengikut sukatan yang ditetapkan boleh menyebabkan bakteria di dalam badan menjadi semakin kebal terhadap antibiotik. Kerintangan antibiotik (antibiotics resistance) telah menjadi satu ancaman yang terbesar di seluruh dunia. Jangkitan bakteria yang kebal terhadap antibiotik boleh merebak dari ladang kepada manusia melalui tanah, air, udara, baja dan pemakanan daging dan produk haiwan yang telah tercemar.

Laporan yang diterbitkan oleh Consumers International, sempena dengan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2016, kerintangan antibiotik telah menyebabkan kematian pada setiap tahun sehingga menjelang tahun 2050. Umpamanya di benua Asia, jumlah kematian ialah 4.5 juta orang, benua Afrika pula 4.1 juta orang, Amerika Latin seramai 392,000 orang, Eropah 390,000 orang dan Ocenia seramai 22,000 orang.

Untuk membanteras penggunaan antibiotik dalam haiwan yang digunakan dalam makanan, Consumers International telah menyasarkan tiga buah rangkaian restoran makanan segera multinasional. Rangkaian restoran makanan segera tersebut diminta untuk memberikan komitmen supaya tidak menggunakan haiwan, yang diberikan suntikan antibiotik secara rutin, dalam hidangan mereka. Terdapat restoran makanan segera ini yang bersedia untuk memberikan komitmen tersebut, namun ia hanya dilakukan di Amerika Syarikat dan Kanada sahaja, tidak di negara-negara yang lain.

Selain daripada penggunaan antibiotik dalam menu makanan, pengambilan antibiotik yang tidak dikawal juga berlaku dalam rawatan kesihatan. Terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai tabiat yang suka mengambil antibiotik walaupun doktor tidak mengarahkan mereka berbuat demikian. Antibiotik adalah ubat yang penting untuk merawat jangkitan bakteria dalam kepada manusia dan haiwan. Bakteria menyesuaikan diri hasil dan kebal terhadap antibiotik. Oleh sebab itu, antibiotik hanya perlu diambil dengan nasihat doktor ketika sakit dan harus dihabiskan walaupun pesakit telah kembali pulih. Pengambilan antibiotik secara berlebihan tidak dapat meningkatkan daya ketahanan badan.

Isu penyalahgunaan antibiotik dalam rawatan kesihatan ini diberikan penekanan oleh FOMCA untuk dijadikan sebagai kempen Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2016. Untuk itu, FOMCA telah melancarkan kempen ‘Ketahui Ubat Anda”, yang mengandungi enam elemen. Enam elemen itu ialah ketahui ubat yang selamat dengan memeriksa wujudnya label hologram meditag dan nombor pendaftaran MAL yang sah, ketahui cara mengambil ubat yang betul, ketahui sumber ubat yang diambil, ketahui kesan sampingan ubat, ketahui masa untuk mengambil ubat antibiotik dan ketahui ubat alternatif yang boleh diambil selain daripada ubat-ubatan yang diberikan oleh klinik.

Oleh itu, pengguna disarankan supaya mengambil antibiotik berdasarkan masa yang ditetapkan oleh doktor. Kementerian Kesihatan juga perlu memantau farmasi-farmasi dan penjualan melalui atas talian bagi ubat antibiotik yang tidak mendapat mendapat preskripsi daripada doktor bertauliah. Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu memastikan supaya ladang penternakan tidak menggunakan antibiotik kepada haiwan ternakannya tanpa mendapatkan kebenarannya.

Kenyataan yang dibuat oleh YB Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bahawa menjelang tahun 2020, semua makanan harian, terutama ayam, adalah bebas daripada kandungan antibiotik, dapat direalisasikan demi keselamatan pengguna di Malaysia.

Sumber : Berita Harian - Rencana -  22 Mac 2016 (Selasa)

Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA