Tidak dapat dinafikan, ramai tertarik dengan ilan barangan yang menawarkan harga murah. Dalam keadaan ekonomi tidak baik pada masa ini, sudah tentu ramai yang ingin menjimatkan wang. Pantang ada iklan jualan murah, ramai yang berpusu-pusu memnuhi pusat beli-belah dengan anggapan mereka menjadi pembeli bijak apabila dapat membeli barangan dengan harga murah pada jualan murah itu.

Iklan ialah sebarang pemberitahuan termasuk ucapan, tulisan, bunyian atau gambar yang diterbitkan melalui pempameran, penggunaan media cetak seperti surat khabar, majalah atau bahan bercetak seperti katalog, senarai harga, pertunjukan filem, gambar atau penggunaan medium elektronik seperti radio, televisyen atau telekomunikasi atas talian.

Kebanyakan pengiklan membuat kenyataan palsu atau mengelirukan, semata-mata untuk mendorong seseorang pengguna membuat keputusan untuk membeli. Sebagai contoh, iklan berbunyi satu percuma satu, diskaun 50 peratus, 100 peratus original, kulit akan jadi putih dalam masa dua minggu dan banyak lagi.

Iklan itu kelihatan seperti terlalu baik untuk menjadi kenyataan. Apa yang diketahui orang ramai ialah risiko yang bakal mereka hadapi disebalik harga ditawarkan, terlalu murah. Begitu juga dengan promosi ditawarkan, seperti beli satu percuma satu serta diskaun yang terlalu tinggi oleh penjual yang menjual barangan itu.

Barang Diiklan Tidak Wujud
Antara risiko ialah kemungkinan barang yang diiklankan tidak wujud, barang berkualiti rendah, menjual barang palsu, penjual yang tidak dapat dikesan selepas membuat pembayaran. Ada beberapa jenis aduan diterima mengenai iklan oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).
Antaranya, pengguna tertipu dengan penjual yang mengatakan harga diberikan paling murah. Apabila pengguna ke kedai lain yang menjual barangan sama harga ditawarkan dua kali ganda lebih rendah daripada apa dijual oleh penjual yang pertama itu.

Selain itu, pengguna juga dijanjikan barangan percuma untuk setiap pembelian seperti diiklankan di laman sesawang, tetapi realitinya pengguna terpaksa membayar kos penghantaran, cukai dan sebagainya. Pengguna yang berasa tertipu dengan iklan berkenaan, apabila ingin membatalkan pembelian, tidak dibenarkan oleh penjual.

Ada juga sejumlah penjual yang menjual barang melalui laman sesawang yang memaparkan gambar barang itu besar, tetapi hakikatnya apabila menerimanya, ia amatlah kecil dan berbeza daripada gambar disiarkan. Apabila pengguna cuba menghubungi penjual berkenaan, dia tidak dapat dihubungi dan wang mereka tidak boleh ditebus kembali.

Ramai pengguna tidak mengetahui iklan palsu atau mengelirukan adalah salah disisi undang-undang. Pengiklan, sama ada pengeluar, agensi pengiklanan, media dan pihak lain yang terbabit dalam pengeluaran iklan itu, boleh dikenakan tindakan.

Pelbagai agensi ada peraturan tersendiri mengenai iklan berkaitan barangan dan perkhidmatan mereka. Antaranya, iklan perumahan dikawal selia oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, iklan ubat-ubatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan sebagainya. Agensi kerajaan ini hanya mengawal selia dari segi iklan yang berkaitan pelesenan atau memastikan iklan itu mematuhi peraturan.

Apabila ada pihak dakwa iklan ini palsu atau mengelirukan, maka ia diluar bidang kuasa mereka. Umpamanya, iklan percuma penyaman udara yang dijanjikan, ia bukan dibawah bidang kuasa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah menubuhkan Jawatankuasa Pengiklanan, bagi melindungi pengguna yang berdepan masalah seperti ini. Penubuhan jawatankuasa Pengiklanan ini adalah di bawah Bahagian XIA Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang dipinda pada 2010. Peruntukan baharu bertujuan untuk memantau iklan palsu atau mengelirukan pengguna.

Jawatankuasa ini berjaya mengeluarkan garis panduan mengelakkan iklan palsu dan mengelirukan berkuat kuasa pada 1 Januari 2013. Garis panduan ini bertujuan sebagai panduan prasyarat bagi agensi kerajaan seperti Lembaga Penapisan Filem, sebelum meluluskan sesuatu iklan yang disiarkan di media elektronik.

Pihak yang disabit kesalahan kerana mengeluarkan iklan palsu atau mengelirukan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan denda antara RM 50,000 hingga RM1 Juta dan penjara antara tiga hingga lima tahun.

Pengguna mesti tampil dan membuat aduan jika mereka mendapati wujudnya iklan palsu dan mengelirukan. Mereka boleh membuat aduan kepadaJawatankuan Pengiklanan di This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau melalui laman sesawang, http://e-aduan.kpdnkk.gov.my

Sumber : Berita Harian – Rencana – 19 April 2016 (Selasa)
Penulis : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (FOMCA)