Perang harga dalam kalangan syarikat telekomunikasi negara sejak dua bulan lalu memberi kelebihan kepada pengguna dari segi pilihan pelan perkhidmatan terbaik serta sesuai dengan nilai wang yang dibelanjakan.

Dengan tujuan untuk menarik seramai mungkin pelanggan, syarikat telekomunikasi saling berlumba memperkenalkan pelan terbaharu masing-masing terutama dalam menambahkan jumlah kuota data, selari dengan trend penggunaannya yang semakin meningkat.

Semakin hari, pelan yang ditawarkan antara mereka dilihat semakin murah dan menarik sehinggakan ada pengguna yang menyatakan mereka sudah menukarkan lebih dua pelan perkhidmatan dalam tempoh sebulan.

Syarikat telekomunikasi terkemuka, Maxis Bhd umpamanya, mengumumkan pakej pasca bayar naik taraf menawarkan pelanggan MaxisONE penambah kuota data berganda.

Tawaran terbaru itu sebagai antara tindak balas Maxis susulan persaingan yang semakin sengit dalam kalangan syarikat telekomunikasi di negara ini, sekali gus sebagai usaha keras syarikat itu untuk meraih kembali keyakinan pelanggannya.

Baru-baru ini, terdapat laporan media menyatakan syarikat itu kehilangan sejuta pelanggan sepanjang 12 bulan tahun lalu, manakala sepanjang tempoh tiga bulan pertama tahtın ini, lebih 400,000 pengguna meninggalkan syarikat itu.

 

Persaingan tawaran
Begitu juga dengan Celcom Axiata Bhd, penyedia rangkaian data terkemuka negara turut tampil dengan tawaran Pelan First Gold yang mana menyediakan panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa had dengan tawaran harga hanya RM80 sebulan dengan 10GB data dengan pecahan 5GB harian dan 5GB lagi bagi cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.

Situasi 'perang' terus berlarutan apabila, Celcom terus memperkenalkan FIRST Platinum, yang menawarkan sehingga 18GB kuota data sebulan, panggilan dan SMS tanpa had pada kadar RM150 sebulan.

Diikuti dengan Digi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) yang menawarkan SmartPlan 75, komitmen RM75 sebulan untuk menikmati panggilan tanpa had serta 7GB data.

Yang turut tersenarai sebagai antara pesaing utama, U Mobile Sdn Bhd yang juga mengesahkan peningkatan data pelan Hero P70 yang menawarkan penyediaan 15GB data berbanding 7GB data sebelum ini, dengan komitmen pengguna masih kekal sama, hanya RM70 sebulan.

Meskipun tawaran 15GB itu akan berakhir sehingga 30 Jun ini, namun pengguna masih berpeluang untuk mendapatkan jumlah kuota yang besar dengan bayaran minimum.

Digi pula menaik taraf pelan pasca bayar untuk pilihan panggilan terhad dengan menaikkan caj bulanan caj sebanyak RM2 untuk 3GB tambahan kuota data hujung minggu.

Penganalisis AmInvestment Bank, Alex Goh, menerusi laporan sektornya berkata, pelan DiGi telah dinaik taraf sebanyak RM2 sebulan bagi pakej DiGi Postpaid 80, 130 dan 220 dengan jumlah data masing-masing 10GB, 12GB dan 16GB, yang diterjemahkan kepada RM8 hingga RM13.75 per GB.

Katanya, walaupun ia hampir sama dengan pakej data First Gold, pakej Celcom dilihat lebih menarik dalam liputan perkhidmatan dan perhubungan yang unggul.

Kerjasama Aplikasi
Selain itu, kerjasama U Mobile dan Waze, aplikasi pandu arah berasaskan komuniti yang semakin popular juga dilihat memberi kelebihan kepada pelanggan U Mobile menikmati akses data itu percuma sehingga 31 Disember ini.

"Penggunaan Waze tidak terhad dan tiada potongan daripada kuota data untuk semua pelanggan U Mobile dengan pelan pakej data (kecuali pelan MB Day). Ia juga terpakai kepada semua pasca bayar bulanan, internet mudah alih tanpa had (UMI), pelan prabayar dan jalur lebar (dari MB15 hingga MB128N)," katanya.

Katanya, U Mobile adalah operator mudah alih pertama yang menawarkan perkhimatan Waze percuma, namun tidak menyediakan sembang sosial tanpa had seperti Maxis One atau Digi yang menawarkan penggunaan tanpa had bagi WhatsApp dan WeChat.

la terbukti, pilihan rangkaian tawaran dalam kalangan syarikat telekomunikasi itu kini dilihat lebih mementingkan keperluan pengguna terutama bagi penggunaan data.

"Penganalisis dan Penyelidik Polisi dan Dasar Awam, Faizal Riduan berkata perang harga adalah suatu perkembangan sihat kerana menjadikan syarikat telekomunikasi lebih kompetitif dan ekonomik kepada pengguna dengan penawaran harga lebih murah serta menjimatkan," katanya kepada BH.

Sumber : Berita Harian – Bisnes – 3 Mei 2016 (Selasa)