BERSEMPENA dengan setahun pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa mulai 1 April 2015, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat (RTD) atas tajuk Integriti Para Peniaga Selepas Setahun Pelaksa¬naan GST, baru-baru ini.

Persidangan ini membariskan tiga ahli panel iaitu Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Tan Sim Kiat. Beliau yang berpengalaman selama lebih 30 tahun dalam semua aspek perkastaman, berkelulusan dalam bidang Ekonomi dari Universiti New Hampshire, Amerika Syarikat. Ahli panel yang kedua ialah Pengarah Komunikasi, Penyelesaian Pertikaian dan Mobilisasi Sumber, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah, yang juga Timbalan Bendahari FOMCA yang telah lama bergiat dalam memperjuangkan hak-hak pengguna.

Sementara itu, ahli panel yang ketiga ialah Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Abdul Mohsein Mohd. Shariff iaitu tokoh usahawan muda yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dari Cardiff University, Wales, United Kingdom. Beliau ialah Pengarah Urusan, Agro Jerneh Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat pemprosesan makanan. RTD ini turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan, NGO dan juga wakil-wakil persatuan serta dewan perniagaan.

Sehingga kini, terdapat sebanyak 409,843 syarikat yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan jumlah kutipan GST sepanjang 9 bulan pada 2015 adalah sebanyak RM27 bilion iaitu menyumbang kepada 12 peratus hasil negara. Pada 2016, jumlah kutipan yang dianggarkan adalah sebanyak RM39 bilion.

Menurut ahli panel pertama, salah satu daripada masalah integriti yang paling ketara dalam kalangan peniaga ialah selain gagal berdaftar dengan Jabatan Kastam mengikut keperluan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014, terdapat juga sebilangan yang menutup perniagaan mereka yang telah dikenal pasti sebagai layak untuk berdaftar kerana jumlah threshold tahunan melebihi RM500,000 setahun dan membuka semula perniagaan pada skala kecil dan sekali gus tidak perlu berdaftar di bawah GST.

Satu lagi isu integriti yang ketara adalah penghantaran tuntutan bayaran balik input cukai yang menurut ahli panel pertama itu ada kalanya amat diragukan kesahihannya di mana kini terdapat kira-kira RM1 bilion tuntutan bayaran balik yang masih disiasat kebenarannya.

Menurut Akta GST 2014 itu, pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu membuat bayaran balik terhadap tuntutan input cukai ini dalam tempoh 14 hari sekiranya ia dihantar secara elektronik dan 28 hari sekiranya dihantar secara 'hard copy' meskipun secara purata amalan negara lain di dunia ialah pemulangan dibuat dalam masa 56 hari. Terdapat juga golongan peniaga yang mengutip GST tetapi gagal menyerahkan hasil kutipan mereka kepada kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.

Sehingga kini sejak pelaksana¬an GST sebanyak 32 kes dibawa ke Mahkamah di bawah beberapa kesalahan di bawah Seksyen 33,41,183 dan 184, Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 di mana dalam satu kes, dua orang pesalah dikenakan penjara sehari dan denda dan lain-lain OKT didenda dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM260,694.75.

Di pihak pengguna pula, banyak aduan bahawa terdapat kenaikan harga barang termasuk barang-barang yang diiktiraf sebagai zero-rated iaitu yang dikecualikan dari GST dan ini amat membebankan pengguna.

Menurut ahli panel kedua itu, dalam tempoh seminggu pelaksanaan GST lebih 600 aduan diterima FOMCA yang bersabit dengan tindakan pencatutan harga oleh peniaga.

Sementara itu, wakil DPIM yang mewakili komuniti peniaga pula mengatakan bahawa masih ramai ahli mereka yang masih tidak faham tentang barang-barang yang dikecualikan GST dan sesi penerangan berterusan perlu diberikan oleh pihak kastam bagi mempertingkatkan tahap kefahaman ahli-ahli mereka.

Mereka juga mengatakan tuduhan bahawa golongan peniaga sengaja menaikkan harga sesuka hati selepas pelaksanaan GST adalah kurang tepat kerana ada ahli-ahli mereka perlu menaikkan harga bagi mengimbangi margin keuntungan.

Ini kerana mereka perlu melabur membeli software khas GST di samping bagi peniaga yang tiada kemahiran IT pula mereka perlu menggaji seorang kakitangan tambahan bagi mengendalikan sistem GST itu termasuk menyediakan laporan bulanan bagi penghantarannya kepada pihak kastam. Ada kalanya mereka terpaksa mengupah firma akauntan bebas untuk membantu penyediaan akaun mereka bagi tujuan GST.

Berniaga secara berintegriti adalah suatu perkara yang amat dituntut Islam yang menggalakkan umatnya terlibat dalam aktiviti perniagaan kerana menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “ 9/10 daripada rezeki itu adalah datang daripada perniagaan”. Larangan tidak menipu dalam berniaga itu diperkuatkan lagi dengan firman Allah: “Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan ( sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi“. (Surah Al-Mutaffifin: Ayat 1-3)

Rumusannya, sesi RTD ini amat bermakna bagi mendapatkan input tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi mempertingkatkan tahap integriti golongan peniaga ekoran pelaksanaan GST di mana Malaysia adalah negara yang ke 170 daripada 196 negara yang terdapat di dunia yang mula memperkenalkan GST, iaitu sistem percukaian terbaik yang telah menyelamatkan ekonomi negara ini sewaktu kita berhadapan dengan krisis kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Penulis : Timbalan Pengarah di Institut Integriti Malaysia (IIM).
Sumber : Utusan Online (http://m.utusan.com.my/rencana/integriti-setahun-pelaksanaan-gst-1.307552) – 3 Mei 2016 (Selasa)