Semak semula dan batalkan lesen syarikat pemberi pinjam wang (PPW) yang didapati melakukan kesalahan, terutama membabitkan kadar faedah yang keterlaluan.

Demikian pandangan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) mewakili pengguna berhubung tindakan syarikat PPW yang mengenakan kadar faedah yang terlalu tinggi sehingga 20 peratus sebulan selain memegang kad ATM pengguna untuk urusan membayar balik.

Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Perlu membekukan pengeluaran lesen baharu syarikat PPW bagi membolehkan polis menyiasat 3,598 peminjam wang berlesen sedia ada.

Katanya, tindakan itu perlu bagi mengawal kegiatan berkenaan kerana sebahagian daripada PPW ketika ini dikuasai sindiket jenayah yang boleh menjejaskan industri kewangan negara.

Katanya, jika kementerian meluluskan lesen baharu, sindiket berkenaan dikhuatiri akan terus mengawal pengguna kerana tahu modus operandi mendapatkan lesen adalah mudah.

 

"Daripada jumlah keseluruhan PPW yang ada, kita tidak tahu berapa banyak yang beroperasi seperti along. Ini menunjukkan industri kewangan ini sudah mencapai tahap kritikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan BH mengenai sebahagian syarikat PPW yang menyalahgunakan lesen dengan mengena kan caj faedah tinggi.

Sehingga kini, sebanyak 3,598 syarikat PPW diberi lesen oleh KPKT dan kuota tahunan lesen boleh dikeluarkan ialah 60.
Ambil tindakan tegas.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, pula meminta KPKT mengambil tindakan tegas dengan menyemak semula lesen PPW yang mengenakan caj melampau dan membebankan peminjam kerana ia membabitkan kepentingan umum.

"Akta perlu disepadukan memandangkan kesukaran KPKT mengendalikan akta di bawah bidang kuasanya di samping keupayaan KPKT untuk memantau PPW adalah terhad," katanya.

Pakar Kewangan Pengguna dari Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri pula mencadangkan koperasi atau badan tertentu seperti bank dan sebagainya mewujudkan tabung pinjaman faedah rendah untuk membantu golongan terdesak.

"Tanpa menafikan institusi kewangan mempunyai pelbagai prosedur yang perlu dipatuhi, sumbangan dalam tanggungjawab sosial dengan tidak terlalu memikirkan keuntungan perlu diambil kira kerana peraturan yang terlalu ketat menjadi faktor mereka memilih PPW dan ceti haram," katanya.

Sumber : Berita Harian - Eksklusif - 8 Jun 2016 (Rabu)