Bulan Ramadan ditunggu-tunggu kerana hampir semua pasar raya mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri.

Peniaga yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan atau secara atas talian juga, turut mempromosi jualan mereka seperti pakaian wanita, baju Melayu, aksesori wanita, peralatan rumah, kuih-muih dan pelbagai lagi. Hal ini mengundang tarikan kepada pengguna untuk membuat pembelian serentak pada musim perayaan ini.

Namun begitu, ramai merungut dan runsing apabila tidak dapat kawal belanja. Ramai juga terpaksa tangguhkan bayaran ansuran bulanan, seperti ansuran kereta, kad kredit dan bayaran pinjaman rumah.

Lebih merunsingkan, ada yang sanggup buat pinjaman along untuk memenuhi kelengkapan dan persediaan menyambut perayaan. Pinjaman berisiko İni mengundang parah kerana kadar faedah dikenakan sangat tinggi.

Perubahan gaya hidup juga satu daripada faktor mendorong kita berbelanja, seperti dengan kewujudan pembelian melalui 'online', ditambah pula harga ditawarkan lebih murah daripada harga pasaran. Anda boleh jimatkan masa dan tidak perlu bersesak di pasar raya untuk membeli-belah. Namun hakikatnya, apabila ia tidak dikawal, ini akan mengakibatkan pembelian di luar kawalan.

 

Pembelian secara atas talian juga boleh mengundang risiko, berdasarkan aduan pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) pada 2015, jumlah aduan babit pembelian secara atas talian berjumlah 7,692 aduan dan 39.8 peratus aduan disebabkan masalah penghantaran lewat, tidak menerima produk dipesan dan sebagainya.

Menurut Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 (Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu, 2014), 53 peratus isi rumah di Malaysia tidak mempunyai aset stabil dari sudut kewangan, 63 peratus isi rumah luar bandar tidak mempunyai aset dan 45 peratus isi rumah bandar tidak memiliki aset kewangan.

Kadar simpanan rendah
Selain itu, laporan juga menunjukkan 88 peratus isi rumah dilaporkan tidak mempunyai simpanan atau sifar simpanan. Hal ini menunjukkan kadar simpanan dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

Sempena perayaan yang bakal tiba, perancangan dan persediaan seharusnya dilakukan lebih awal. Pembelian secara serentak akan membuat anda tertekan dan memaksa anda untuk berhutang. Sediakan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bajet lebih awal.

Langkah terbaik, anda sediakan pelan perbelanjaan untuk anda sambut perayaan seperti perbelanjaan baju raya serta keluarga, juadah, kelengkapan rumah, penyelenggaraan kenderaan, bajet perjalanan pulang ke kampung, wang raya, jamuan rumah terbuka dan sebagainya. Perancangan perlu dicatatkan dan anda boleh memantau aliran keluar dan masuk wang anda, sama ada terlebih atau terkurang belanja.

Petua berbelanja
Antara petua berbelanja di sepanjang musim perayaan babitkan baju raya, peralatan dan perabot:
• Tambah aksesori seperti labuci/manik pada baju Melayu atau baju kurung raya tahun-tahun lalu supaya kelihatan seperti baharu dan menarik.
• Ubah susunan perabot ruang tamu anda atau tambah aksesori dan mengguna semula barangan sedia ada.
• Lap dan cuci semua peralatan perabot rumah atau cat semula di ruangan tertentu untuk kelihatan seperti suasana baharu.
• Sediakan sendiri juadah dan biskut raya. Boleh berkongsi atau bertukar-tukar dalam menyediakan biskut raya bersama rakan.
• Kadangkala peniaga tawar jualan lelong biskut raya pada hari terakhir Ramadan. Ambil peluang dengan sebaiknya.
• Pemberian duit raya adalah tradisi dan pada masa sama amalan sedekah kepada kanak-kanak. Anda boleh sediakan bajet duİt raya dengan menyimpan sebahagian pendapatan bulanan dalam tempoh enam bulan lebih awal.
• Kenderaan perlu diselenggara untuk selamat pulang ke kampung halaman. Selenggara kereta sebulan atau dua bulan lebih awal. Ini bagi memastikan agar kenderaan anda tidak rosak dan kejadian yang tidak diingini pada musim perayaan.
• Untuk sediakan juadah raya atau rumah terbuka, perlu bijak merancang dan membuat anggaran jumlah tetamu yang bakal berkunjung ke rumah. Rancang menu utama dan menu sampingan seperti pencuci mulut dan sebagainya. İni dapat mengelak pembaziran makanan.
• Sebagai tetamu pula, ambil makanan secara berhemah kerana anda mungkin akan pergi beberapa rumah terbuka lagi selepas itu.

Pengarang : Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason, Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
Sumber : Berita Harian – Komentar – 28 Jun 2016, Selasa