Merujuk kepada isu kemalangan sebuah bas dengan 10 buah kenderaan di Terowong Menora baru-baru ini, ramai pihak yang mempersoalkan mengapa syarikat bas yang memiliki 63 saman tertunggak atas pelbagai kesalahan masih dibenarkan untuk beroperasi?  Apabila berlakunya kemalangan dan video rempuhan bas menjadi viral, banyak pihak telah membuka mata dan menyedari bahawa syarikat bas yang mempunyai saman terkumpul tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi untuk orang awam. Walaupun perkhidmatannya untuk memudahkan perjalanan orang awam, namun ianya juga boleh menjadi satu ancaman nyawa untuk pengguna jika syarikat bas mahupun pemandu bas mempunyai senarai saman yang terlampau banyak.

Pertindihan saman antara pihak JPJ, PDRM, dan SPAD juga tidak mustahil kerana ketiga-tiga agensi ini mengamalkan sistem saman yang berlainan. Hal ini akan menimbulkan kesukaran kepada pihak syarikat bas, pemandu bas malah pihak berkuasa juga sukar untuk mengenalpasti jumlah saman yang terkumpul. Cadangan daripada Menteri Pengangkutan supaya menyelaraskan sistem saman antara ketiga-tiga agensi ini amat dialu-alukan kerana ianya memudahkan pengguna untuk menyemak saman yang terkumpul dalam satu sistem sahaja.

Selain daripada isu kemalangan bas yang selalu diberikan penekanan dalam media massa, bagaimana pula dengan isu kemalangan kenderaan berat yang lain seperti treler dan lori? Apakah tindakan yang telah diambil terhadap pemandu treler yang telah merempuh beberapa buah kenderaan sehingga menyebabkan kematian seorang ibu dan anak pada bulan lepas? Treler tersebut dikhabarkan terbabas daripada lorong kanan sehingga merempuh beberapa buah kenderaan yang tersangkut dalam kesesakan trafik. Adakah ianya perkara biasa untuk sebuah treler berada di lorong paling kanan?

 

Sejak kebelakangan ini terdapat beberapa berita berhubung dengan kemalangan treler yang berpunca daripada masalah brek. Kemalangan ini menjadi serius apabila ianya melibatkan nyawa-nyawa pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Justeru itu, apakah tindakan yang telah diambil terhadap pemandu dan pihak syarikat treler berkenaan? Masalah brek merupakan perkara yang perlu dititikberatkan apatah lagi jika ianya melibatkan kenderaan berat seperti treler dan bas yang boleh menggugat tahap keselamatan jalan raya.

Mengapakah permasalahan brek ini masih belum menemui jalan penyelesaian bagi mengurangkan kemalangan yang turut membabitkan nyawa orang awam? Apakah sistem penyelenggaraan kenderaan berat dipandang enteng sehingga menyebabkan permasalahan brek merupakan punca utama kemalangan jalan raya? Adakah terdapat pihak-pihak yang bertindak sebagai badan pemantauan dalam mengawasi tahap penyelenggaraan kenderaan berat? Adakah pihak syarikat kenderaan berat patuh dengan tempoh penyelenggaraan yang telah ditetapkan? Jika ya, mengapa masih banyak kemalangan berpunca daripada masalah brek? Siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya kemalangan berpunca daripada kecuaian sistem teknikal kenderaan itu sendiri apatah lagi jika ianya melibatkan sebuah kenderaan berat seperti bas, treler, dan lori?

Saya pernah mengutarakan persoalan ini “Jika masalah brek pada kenderaan berat masih tidak dibendung lagi, tidak mustahil untuk berlakunya lagi siri rempuhan daripada kenderaan berat ini. Secara tidak langsung, kita sebagai pengguna jalan raya seolah-olah memperjudikan nyawa masing-masing terutama ketika bertemu dengan kenderaan berat di atas jalan raya”. Dan selepas beberapa hari artikel ini dikeluarkan, berlaku lagi siri rempuhan yang seterusnya di Terowong Menara ketika orang ramai sedang berpusu-pusu pulang ke bandar selepas menyambut perayaan Aidilfitri.

Dengan kadar kekerapan kemalangan akibat masalah brek yang semakin tinggi, perkara ini jelas terbukti bahawa pihak-pihak yang berkewajipan perlu membuka mata dan mencari jalan penyelesaian bagi perkara ini. Apabila kita hanya tunggu terhantuk baru nak tengadah, ianya hanyalah perbuatan yang sia-sia sahaja kerana nasi yang dah menjadi bubur tidak boleh kembali semula ke bentuk pepejal.

Selain itu, jika diperhatikan terdapat nombor hotline SPAD pada kenderaan berat seperti treler dan lori. Apakah fungsi nombor hotline SPAD di situ kerana pada kebiasaannya jika pemandu memandu melebihi had laju, pengadu sudah pasti akan menghubungi pihak JPJ untuk membuat laporan selanjutnya. Perkara ini amat mengelirukan pengguna kerana kelihatan seperti terdapat pertindihan bidang kuasa antara pihak JPJ dengan SPAD.

Saya ingin mencadangkan pihak agensi pengangkutan supaya menubuhkan satu medium aduan sahaja untuk memudahkan pengguna membuat aduan dan juga memudahkan pihak JPJ, PDRM, dan SPAD dalam mengakses data aduan pengguna. Dengan sistem aduan yang wujud pada masa kini amat mengelirukan pengguna kerana pihak JPJ dan SPAD mempunyai sistem aduan yang berbeza. Sebagai contoh jika pengadu ingin membuat aduan mengenai kesalahan pemandu treler atau lori, adakah pengguna perlu membuat aduan kepada JPJ atau SPAD? Sistem saman dan juga sistem aduan perlu diselaraskan untuk memudahkan pengguna mahupun pihak berkuasa untuk mengakses sistem yang sama. Perkara ini boleh mengelakkan pertindihan saman dan aduan yang sama.

Akhir kata, pihak-pihak yang berkewajipan perlu membuat sesuatu dalam mengurangkan kemalangan yang berpunca daripada masalah brek terutama yang melibatkan kenderaan berat. Sanggupkah kita melihat nyawa-nyawa pengguna jalan raya yang tidak bersalah untuk menjadi mangsa kemalangan yang seterusnya? Jangan biarkan pengguna jalan raya yang lain mati katak hanya disebabkan masalah teknikal kenderaan berat! Pihak-pihak yang tertentu perlu bertanggungjawab di atas penyelenggaraan masalah teknikal brek kenderaan berat kerana telah banyak nyawa orang awam melayang kerana masalah mereka!

Nur Asyikin Aminuddin
Persatuan Pengguna-pengguna Standard Malaysia (Standards Users)