Rakyat Malaysia sering digemparkan dengan kes-kes keracunan makanan yang dilaporkan hampir setiap bulan dalam media massa, yang melibatkan pelajar sekolah dan orang awam. Mengapakah ini sering terjadi?  Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab dan seharusnya dipersalahkan supaya kes ini tidak berulang lagi? Sebelum mula menuding jari kepada sesiapa, cuba lihat apakah yang dimaksudkan dengan keracunan makanan?

Apa itu keracunan makanan?

Keracunan makanan adalah apa jua bentuk penyakit yang diperoleh akibat daripada pengambilan makanan atau minuman yang telah tercemar oleh organisma yang menular, seperti bakteria, virus mahupun parasit.

 

Punca keracunan makanan?

Cara pemprosesan makanan dan minuman yang tidak bersih ataupun makanan tidak dimasak dengan baik, menjadi punca utama keracunan makanan. Akibat cara pemprosesan tersebut, ia telah menyebabkan bakteria dan virus, seperti Campylobacter dan salmonella, yang kebiasaannya dijumpai di dalam produk makanan mentah berasaskan haiwan, manakala virus rotavirus dijumpai di dalam air yang tidak dirawat. Parasit seperti kulat yang tumbuh pada makanan terbiar dan tidak tertutup turut menjadi punca. Selain itu, makanan yang ditinggalkan dalam suhu bilik melebihi 4 jam juga akan menyebabkan makanan tersebut dijangkiti bakteria.

Kes paling terkini melibatkan 16 orang pelajar asrama Sekolah Menengah Datuk Syed Ahmad, Kuala Nerang, Kedah Darul Aman. Semua pelajar sekolah tersebut mengalami sakit perut, cirit-birit serta muntah sebelum dihantar ke Hospital Kuala Nerang. Punca keracunan makanan ini disyaki berpunca daripada nasi lemak berlauk ikan bilis dan telur yang mereka makan selepas membelinya di luar kawasan sekolah. Sampel nasi lemak tersebut telah diambil untuk dilakukan penyiasatan (sumber dari Harian Metro bertarikh 4 September 2016).

Apakah simptom seseorang itu terkena keracunan makanan?

Seseorang pesakit itu akan mengalami rasa loya, sakit perut, muntah-muntah, cirit-birit selepas mengambil makanan atau minuman yang telah tercemar. Selain itu, pesakit juga akan mengalami rasa sakit kepala, berpeluh dan demam ringan. Kesan komplikasi daripada keracunan makanan yang tidak dirawat awal, boleh menyebabkan kecacatan, seperti lumpuh, sakit-sakit sendi yang berpanjangan sehingga boleh membawa kepada kematian.

Bagaimana untuk mencegah keracunan makanan?

Sejak kecil lagi ibu bapa telah menyuruh anak-anak mereka supaya membasuh tangan dengan betul sebelum menyentuh makanan dan minuman. Begitu juga, mereka diminta membasuh tangan selepas keluar dari tandas. Hal ini bertujuan untuk mengelak virus dan bakteria melekat pada makanan yang akan diambil. Selain itu, permukaan tempat makan atau penyediaan makanan dan peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan hendaklah dibasuh dengan bersih. Paling penting ialah pastikan kawasan dapur bebas daripada serangga dan haiwan, seperti tikus dan haiwan-haiwan yang lain setiap masa.

Semua pengusaha restoran, kantin sekolah mahupun institusi pendidikan tinggi pula, disyorkan supaya memberi 100 peratus komitmen dalam memastikan makanan yang dijual adalah bersih, bermula daripada cara pemprosesan sehingga dimasak dengan baik. Jangan difikirkan keuntungan semata-mata, kesihatan adalah lebih utama berbanding wang ringgit.

Jadi, siapa yang sepatutnya bertanggungjawab dalam hal ini?

Dalam hal ini, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan makanan ini, termasuklah pengeluar makanan, pengusaha dan peniaga yang menjual makanan. Begitu juga orang yang memakan makanan tersebut. Kebersihan makanan akan memberi manfaat yang besar, bukan sahaja pada diri, keluarga, masyarakat setempat malah kepada negara.

Segala maklumat ataupun aduan mengenai isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq.