Sungai Semenyih adalah sumber bekalan air utama kepada penduduk di kawasan Lembah Klang terutama di kawasan Hulu Langat. Pencemaran Sungai Semenyih makin menjadi-jadi sejak tiga hingga empat tahun lalu. Isu pencemaran Sungai Semenyih baru- baru ini membangkitkan kemarahan ramai penduduk tempatan kerana loji rawatan air Sungai Semenyih terpaksa ditutup ekoran pencemaran ammonia daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Antara kawasan mengalami gangguan bekalan air ialah Daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang. Akibat gangguan bekalan air di kawasan ini, pengguna terpaksa menggunakan air yang dibawa oleh lori Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (SYABAS). Namun, hanya 20 lori yang dapat membekalkan air kepada pengguna di empat kawasan itu.

 

Pencemaran Tidak Terkawal

Berdasarkan hasil siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), punca pencemaran dari Sungai Lalang yang berhampiran kawasan perindustrian Hi-Tech Semenyih. Pencemaran sebegini sudah banyak kali berlaku sebelum ini, khususnya yang paling teruk pada 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, 2012, 2013 dan 2015. Pertambahan jumlah kilang di kawasan sepanjang sungai itu menyebabkan pencemaran tidak terkawal.

Kejadian itu berakhir dengan janji dan komitmen daripada pihak berkuasa bahawa mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap pencemaran dan akan membangunkan pelan menyeluruh bagi menangani krisis air. Namun, isu pencemaran sungai ini masih timbul setiap tahun dan akhirnya pengguna menjadi mangsa.

Isu utama yang perlu difokuskan ialah isu pencemaran air mentah yang berterusan, bukan nya masalah penduduk kekurangan bekalan air.

Pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan operator air seperti SYABAS perlu sentiasa memastikan bekalan air mencukupi dan sentiasa mempunyai perancangan apabila tiap kali berlakunya pencemaran di Sungai Semenyih.
Pihak penguatkuasa seperti JAS perlu melakukan pemantauan secara berterusan dan ketat terhadap kilang-kilang yang dibina berhampiran sungai ini.

Namun begitu, pihak berkuasa masih gagal mengawal pencemar ini. Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) sudah serik dengan pencemaran Sungai Semenyih ini. Diharapkan pihak kementerian seperti Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Menteri Besar Selangor mengambil berat terhadap isu air.

Sekiranya badan yang bertanggungjawab gagal memantau pencemar ini sepenuhnya, pihak atasan perlu mengambil tindakan sewajarnya.

Tingkat Pemantauan, Pencegahan

Walaupun ada pelbagai peraturan dan undang-undang mencegah kotoran dan sisa pengilangan atau ternakan dibuang ke sungai, kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini tetap berterusan. Pemantauan dan pencegahan oleh pihak berkuasa perlu ditingkatkan. Lazimnya, apabila pencemaran didedahkan oleh media, barulah mereka bertindak.

Bahkan, kadangkala pesalah hanya dikenakan kompaun yang tidak seberapa sehingga tidak wujud perasaan takut menghadapi tindakan. Walaupun ada peruntukan undang-undang yang membolehkan kilang yang membuang sisa dan sisa toksik secara berterusan ditutup, apakah tindakan drastik demikian ini pernah diambil?

Kami menuntut penyiasatan dijalankan oleh SPAN untuk isu air yang berterusan di Sungai Semenyih. WECAM dan pihak berkepentingan lain mesti turut serta dalam panel siasatan. Hasil penyiasatan ini mesti boleh di akses kepada semua pihak yang berkepentingan.

NURUL NAIM RAZALI,
PERSATUAN PENGGUNA AIR DAN TENAGA MALAYSIA (WECAM)