BH2
 
  
SUNGAI Semenyih terletak di Semenyih, Selangor. Punca sumber air bagi Sungai Semenyih ialah di Bukit Ulu Semenyih (450 meter dari aras laut). Kuala Sungai Semenyih terletak di Jenderam Hilir. Sungai Semenyih digunakan untuk kegunaan penduduk Semenyih, Bandar Rinching dan Bandar Tasek Kesuma sejak 2005.
 
Lembangan Sungai Semenyih mempunyai 36 cawangan lembah dan 25 tadahan air sederhana meliputi kawasan 230.94 kilometer (km). Lembangan Sungai Semenyih ini, termasuk Empangan Semenyih. Panjang sungai ini 37 kilometer dan terbahagi kepada tiga peringkat iaitu ulu sungai, tengah sungai dan hilir sungai. Empangan Semenyih dan Loji Rawatan Air Semenyih dibina untuk menampung permintaan air terawat penduduk di sekitar Putrajaya, Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Semenyih.
 
Sungai Semenyih bukan sahaja digunakan untuk membekalkan air kepada penduduk, bahkan ranting sungai seperti Sungai Tekala dijadikan pusat rekreasi kerana ada Air Terjun Sungai Tekala. Panjang Sungai Tekala kira-kira satu km sahaja, dengan ketinggian kira-kira 300 meter.
 
Namun, pada akhir tahun lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup berulang kali akibat pencemaran di Sungai Semenyih. Penutup LRA Sungai Semenyih mengakibatkan gangguan berkala air di 450 kawasan, meliputi kawasan di daerah Petaling seperti Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan; daerah Hulu Langat di Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching, manakala daerah Kuala Langat meliputi Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima.
 
 
JEJAS RUTIN HARIAN
 
Daerah Sepang meliputi Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab juga mengalami gangguan. Kekerapan penutupan loji rawatan air dalam masa terdekat menimbulkan kegelisahan dan kemarahan penduduk dan peniaga yang terjejas rutin harian mereka akibat ketiadaan air. Oleh itu, pihak badan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Forum Air Malaysia (FAM) dan Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) telah mengambil inisiatif membantu menyelesaikan masalah pencemaran di Sungai Semenyih.
 
FOMCA dengan kerjasama FAM dan WECAM telah melawat tapak di kawasan sekitar Sungai Semenyih. Hasil lawatan didapati kemungkinan punca pencemaran Sungai Semenyih adalah dari beberapa kawasan, iaitu zon perindustrian, tapak pelupusan sampah, kawasan perkuburan dan tempat pertanian. Kebanyakan kawasan ini terletak di hulu sungai Semenyih.
 
Di kawasan pekan Semenyih pula sampah-sarap boleh dilihat di merata tempat seperti dalam longkang besar yang bersambung dengan sungai, jalan raya dan kawasan lapang. Sumber sampah-sarap ini berpunca daripada sikap peniaga dan penduduk di Semenyih yang tidak membuang sampah di tempat pembuangan sampah disediakan. Di kawasan perkampungan pula, didapati penduduk yang tinggal berdekatan sungai akan membuang sampah sarap ke dalam sungai itu. Dapat dirumuskan tahap kesedaran penduduk terhadap pencemaran Sungai Semenyih masih berada di tahap rendah.
 
 
KEMPEN KESEDARAN
 
Oleh sebab itu, bagi meningkatkan kesedaran penduduk terhadap kepentingan Sungai Semenyih dan meningkatkan kualiti air Sungai Semenyih, pihak FOMCA, FAM dan WECAM akan menjalankan kempen kesedaran kepada penduduk sekitar Sungai Semenyih selama tiga tahun dan pelbagai aktiviti akan dijalankan, antaranya gotong-royong pembersihan kawasan pekan Semenyih, pertandingan mengutip sampah paling banyak, program kesedaran penduduk dan ceramah kesedaran untuk pelajar sekolah di Semenyih serta sesi perundingan mengenai alternatif pembuangan sisa untuk sektor industri.
 
Kempen kesedaran ini akan memberi impak besar kepada penduduk, peniaga dan pengilang di sekitar Sungai Semenyih. Program ini dijangka boleh meningkatkan kesedaran orang awam mengenai akibat yang bakal dihadapi mereka sekiranya sungai itu tercemar. Tabiat membuang sampah merata tempat juga dapat diubah secara beransur-ansur. Tambahan pula, dengan ceramah kesedaran di sekolah dapat mengukuhkan lagi kesedaran mengenai kepentingan Sungai Semenyih.
 
Peningkatan kesedaran mampu mengurangkan pencemaran pada masa akan datang. Selain itu, kebarangkalian kes gangguan bekalan air berpunca daripada pencemaran akan menurun berikutan pengurangan pengeluaran sisa ke dalam sungai. Dengan sungai yang lebih bersih, kita juga tidak perlu risau mengenai penutupan loji rawatan ketika musim panas seperti kes taun pada 2014 dan 2015.
 
Bagi pihak industri pula, pengurusan efluen akan lebih efisien. Program ini akan menjadikan kebanyakan kilang dan industri sepanjang Sungai Semenyih menjadi lebih mesra alam.
 
Program kesedaran seperti ini juga perlu dijalankan di Sungai Langat. Sungai Langat tidak terlepas daripada berlaku kes pencemaran. Sungai Langat adalah sumber air mentah utama kepada tujuh loji rawatan air di Selangor iaitu Loji Air Sg Langat, Loji Air Bukit Tampoi, Loji Air Cheras Batu 11, Loji Air Salak Tinggi, Loji Air Sg pangsoon, Loji Air Sg Serai dan Loji Air Sg Lolo.
 
Sekiranya berlaku pencemaran di Sungai Langat, maka tujuh loji rawatan air itu terpaksa ditutup sementara waktu, seperti berlaku pada 8 Oktober 2016, menyebabkan LRA Langat dan LRA Cheras terpaksa ditutup akibat pencemaran bau Sungai Semantan, Pahang.
 
Penutupan loji rawatan air itu mengakibatkan gangguan bekalan air kepada kawasan seperti Cheras, Kuala Lumpur dan daerah Petaling. Walaupun pihak FOMCA, FAM dan WECAM mengambil inisiatif dalam meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan sungai, kerjasama semua pihak sangat penting dalam menjayakan kempen kesedaran.
 
Prof. Datuk Dr. Marimuthu Nadason 
Penulis adalah Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
 
Sumber : Berita Harian - 23 Mac 2017 Selanjutnya di : https://www.bharian.com.my/node/263158