Print
Category: FOMCA di pentas media 2016 - 2017

Walaupun tiada aduan berhubung rebat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi tambah nilai nombor telefon bimbit prabayar setakat ini, namun beberapa isu berkaitan perlu diperhalusi pihak telekomunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata antara isu yang mungkin berbangkit pada masa depan ialah berkaitan penguatkuasaan dan pengemaskinian pemilik nombor prabayar berkenaan bagi mengelak pekerja asing mendapat keistimewaan rebat itu.

"Sebagai contoh, ada ejen pekerja asing yang membeli nombor prabayar secara pukal untuk pekerja-pekerjanya. Dan pendaftaran ke atas nombor berkenaan mungkin dilakukan menggunakan maklumat ejen berkenaan yang merupakan warganegara Malaysia.

"Jadi, sudah semestinya nombor itu layak mendapat rebat enam peratus itu walaupun digunakan oleh pekerja asing. Oleh itu, mungkin pihak telekomunikasi dan SKMM boleh berbincang cara mengatasi isu ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pelaksanaan rebat GST untuk tambah nilai prabayar itu, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2016 pada Oktober tahun lepas, bermula secara rasminya pada 1 Jan ini.

Mohd Yusof berkata selain itu, beliau mendengar rungutan sesetengah pihak terutamanya pelajar yang tidak begitu gembira walaupun rebat dipulangkan dalam masa 24 jam.

Beliau berkata terdapat kes di mana pemilik nombor membeli nilai tambah prabayar sebanyak RM10, namun kerana pemotongan GST sebanyak RM0.57, bakinya iaitu RM9.43 tidak cukup untuk mengaktifkan data internet yang diperlukan dan pembeli itu terpaksa menunggu sebelum jumlah itu dikreditkan semula.

"Ini antara perkara yang perlu dilihat pihak berkenaan kerana walaupun ia kelihatan remeh, bagi sesetengah pihak ia amat diperlukan," katanya.
Dengan jumlah pengguna prabayar dijangka melebihi 20 juta di negara ini, beliau berkata pasti akan timbul isu-isu tertentu walaupun pelaksanaan rebat kelihatan lancar.

Mengikut garis panduan yang dikeluarkan, sebanyak RM0.57 akan dipotong dari setiap pembelian tambah nilai RM10, RM1.70 dari RM30 dan RM2.83 dari RM50, dan jumlah yang dipotong akan dikreditkan semula dalam tempoh 24 jam.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pelaksanaan rebat itu berjalan lancar, namun menegaskan kerajaan akan terus memantaunya bagi memastikan tiada masalah timbul.

"SKMM sentiasa memantau perkembangan ini... kita meminta syarikat telekomunikasi memberi penjelasan (kepada pelanggan) mengenai rebat ini dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia (CFM) berkata pihaknya juga tidak menerima aduan mengenai pelaksanaan rebat itu.


Sumber : Malaysian Digest (http://malaysiandigest.com/bahasa-malaysia/587889-tangani-ketirisan-rebat-gst-tambah-nilai-bagi-nombor-prabayar-fomca.html)