KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu kerajaan bersikap lebih telus berhubung masalah kekurangan minyak masak di pasaran yang dilihat berlaku pada setiap hujung tahun.

Setiausaha Agungnya, Muhamad Sha'ani Abdullah, berkata masalah itu mungkin berpunca daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang lambat mengagihkan subsidi atau tidak membayar subsidi.

Katanya, ia juga mungkin disebabkan kerajaan kehabisan peruntukan subsidi tahunan, sekali gus menyebabkan pengeluar yang tidak mendapat subsidi, enggan mengeluarkan minyak masak.

“Selain itu, kerajaan tidak boleh mempersalahkan peniaga kecil yang membuat pembelian panik barangan ini kerana mereka memerlukan bekalan berkenaan terutama mereka yang terbabit dalam perniagaan makanan bagi memastikan perniagaan tidak terjejas.

“Kita mahu kerajaan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah kekurangan minyak masak,” katanya sambil menambah masalah berkenaan sepatutnya tidak berlaku kerana Malaysia adalah antara pengeluar terbesar minyak masak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar baru-baru ini mengenai jaminan Kabinet tidak menaikkan harga minyak masak dan bekalan itu mencukupi untuk pengguna.

Bagaimanapun, pengguna terus bimbang dengan masalah kekurangan bahan itu di pasaran sekarang apabila pasar raya dan pekedai runcit meletakkan notis tiada bekalan minyak masak di premis.


Sementara itu, Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu melakukan audit terhadap pengilang dan pemborong bagi mengelakkan masalah itu terus berlarutan.