ISU pengguna tiada kesudahan dan memerlukan penyelesaian terbaik untuk mengingatkan pengguna terhadap hak mereka.

Justeru, kerjasama menanganinya diperkemaskan apabila Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menghasilkan album nyanyian artis popular dan pelakon sitkom dengan lirik bertemakan akta dan hak pengguna.

Album Peranan dan Hak Pengguna (Ke Arah Penggunaan Berhemat) menampilkan kelibat penyanyi popular seperti Nassier Wahab, Zura 'The Girls', Siti Fairuz dan Allahyarham Shamrin Fotograf. Selain itu, beberapa pelakon seperti Lan Cecupak, S Asli, Zul, Mahat, Angeline Tan dan Rama Spanar Jaya turut menjayakannya.

Pelancaran album julung kali diperkenalkan antara Fomca dan artis seni dengan kerjasama komposer daripada Top Ten Music, Nasir Datuk Ahmad Nawab turut dialu-alukan artis lama seperti Jay-Jay, Zur Eda, Hail Amir dan Ayati Tasrip.
Sambutan hangat diberikan mereka terbukti sewaktu Ahli Dewan Negara, Tan Sri Datuk Dr Jins Shamsudin melancarkan album lagu kepenggunaan dan pertandingan kepenggunaan sempena Hari Pengguna Malaysia 2011, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden Seniman, Harun Salim Bachik dan Presiden Fomca, Datuk Marimuthu Nadason.

Kata Jins, pelancaran album itu memberi petanda baik meningkatnya kesedaran di kalangan pengguna.

"Kita semua pengguna, tidak kira apapun kedudukan kita. Begitu juga penggiat seni, kita menggunakan barangan dan perkhidmatan. "Isu kepenggunaan paling penting apabila dikaitkan dengan kegiatan seni iaitu cetak rompak. Kegiatan tidak bermoral ini menyebabkan golongan seni dan negara mengalami kerugian.

"Aspek harga tinggi perlu dikaji semula agar harga CD tidak boleh terlalu tinggi dan memastikan lebih banyak dapat dijual. Masalah cetak rompak boleh diatasi dengan ada menyemai mentaliti membeli karya asli. "Apapun, inisiatif Fomca menyedari peranan seni dan muzik selain penghibur mampu memberikan kesedaran melalui mesej pada lirik lagu,".

Bagi Nassier, lagu kepenggunaan antara sumbangan untuk masyarakat dan peminat. Lagu pengguna boleh dibawa ke mana-mana sambil meluaskan repertoire kerana lebih biasa menyanyikan lagu pop komersial," katanya berpadu suara bersama Zura The Girls dalam Perubahan Bermula Dengan Saya.

Lagu lain dimuatkan dalam album termasuk tiga nyanyian Siti Fairus melalui Hak Untuk Bersuara, Hak Untuk Mendapat Alam Sekitar Yang Sihat dan Hak Untuk Mendapat Keperluan Asas.

Beberapa lagu lain adalah Hak Untuk Membuat Pilihan dan Hak Untuk Mendapat Maklumat (Zura The Girls), Hak Untuk Mendapat Ganti Rugi (Lan Cecupak, S Asli, Zul, Mahat, Angeline Tan dan Rama Spanar Jaya), Hak Untuk Mendapat Keselamatan (Shamrin Fotograf) dan instrumental Perubahan Bermula Dengan Saya.

Siti Fairuz berkata, penghasilan album itu bukan mudah seperti disangka kerana banyak akta perlu difahami dengan baik.

Buat permulaan, sebanyak 10,000 unit CD album pengguna berkenaan diedar secara percuma kepada orang ramai.

Marimuthu berkata: "Kita perlu jaga integriti membabitkan isu pengguna dan cetak rompak. Saya tidak mahu negara atau rantau kita dijadikan sarang cetak rompak secara berleluasa."