KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pada Selasa mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan bagi meningkatkan pendidikan pengurusan kewangan di kalangan pengguna dalam usaha mengurangkan jumlah hutang isi rumah di Malaysia yang dianggar mencecah RM560 bilion tahun lepas.

Fomca dalam satu kenyataan berkata menerusi pendidikan kewangan yang ditingkatkan, pengguna akan menjadi lebih berpengetahuan tentang produk dan perkhidmatan kewangan serta tahu saluran untuk mendapatkan maklumat kewangan dan menggunakan maklumat itu untuk membuat keputusan yang lebih baik.
Kajian menunjukkan 50 peratus pemegang kad kredit yang diisytihar muflis adalah golongan berumur di bawah 50 tahun dan data Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati 22 peratus mereka yang sukar membayar hutang adalah disebabkan pengurusan kewangan yang lemah.

"Sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia hari ini, Fomca mencadangkan supaya sebuah suruhanjaya ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan yang akan bertanggungjawab untuk meningkatkan pendidikan pengurusan kewangan kepada pengguna menerusi pembangunan strategik untuk mempromosi pendidikan pengurusan kewangan," kata kenyataan itu.

Pendidikan pengurusan kewangan akan memberi manfaat kepada pengguna di setiap peringkat umur dan tahap pendapatan di mana golongan dewasa baru bekerja boleh menjadikannya sebagai asas dalam menguruskan bajet, simpanan, mengawal perbelanjaan serta hutang di samping membantu pengguna berpendapatan rendah menilai kewangan mereka semasa membeli sebarang produk kewangan.

Tanpa pengetahuan kewangan asas, Fomca berpendapat pengguna mungkin tidak dapat membeli produk dan perkhidmatan kewangan yang mereka perlukan sebaliknya memungkinkan mereka membeli sesuatu produk kewangan yang tidak diperlukan.

Fomca berkata suruhanjaya itu, jika ditubuhkan akan menumpukan kepada empat fungsi utama iaitu membina kesedaran awam terhadap sumber sedia ada, membangunkan strategi penyebaran maklumat secara khusus mengikut golongan sasar, mewujudkan kerjasama antara sektor awam dan swasta serta menjalankan kajian dan penilaian terhadap program pendidikan kewangan.

-- BERNAMA