KUALA LUMPUR: Pengguna kad pengeluaran wang automatik (ATM) diingatkan supaya berwaspada dan tidak menyerahkan sebarang butir peribadi kepada individu tidak dikenali bagi mengelakkan ditipu sindiket tertentu yang memperdaya orang ramai termasuk pelajar untuk menyerahkan kad berkenaan sebagai akses transaksi perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj berkata, langkah itu perlu kerana kad ATM berkenaan adalah hak peribadi seseorang dan ia tidak boleh diserahkan kepada orang lain termasuk segala butiran peribadi memungkinkan segala transaksi pengeluaran dilakukan.


Katanya, jika berlaku sebarang aktiviti pengeluaran dan unsur penipuan, tiada tindakan khusus boleh diambil kerana tiada bukti mensabitkan seseorang dengan kes jenayah kerana kebiasaannya, pemilik kad memberi kebenaran kepada pihak ketiga mengeluarkan wang simpanan di bank.

“Fomca sendiri mengambil langkah mencegah kegiatan penipuan ini dengan mengadakan Program Pendidikan Pengguna bagi mengingatkan orang ramai mengenai risiko perlu diambil jika menyerahkan kad dan maklumat peribadi perbankan kepada pihak ketiga. Kita juga bekerjasama dengan Bank Negara untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu ini,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini. Harian Metro baru-baru ini melaporkan kegiatan satu sindiket memperdaya pelajar sekolah untuk membuka akaun bank dan menggunakan kad pengeluaran wang automatik bagi memindahkan wang yang tidak diketahui statusnya.

Didalangi seorang lelaki tempatan, sindiket itu dikesan menggunakan modus operandi mudah dengan meminta pelajar membuka akaun persendirian di mana-mana institusi kewangan sebelum meminta mangsa menyerahkan kad ATM kepada seseorang dipercayai ketua kumpulan terbabit.

Sebagai balasan, mangsa dijanjikan wang tunai RM50 bagi setiap transaksi dan langsung tidak mengetahui jenis perniagaan dijalankan sehinggalah ditahan polis kerana nama sudah disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki di Johor.