MEDIA melaporkan berlaku kenaikan harga barangan di sesetengah tempat seperti di Ipoh dan Melaka. Kenaikan sekitar 50 sen hingga RM1 bagi sebahagian besar keperluan barangan harian ini sangat menekan pengguna dan masyarakat.

Menurut kebanyakan peniaga, bahan mentah seperti ikan, udang, sotong semakin berkurangan dan ini menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan, selain faktor pengangkutan dan upah pekerja.

Siti Rahayu Zakaria dari Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), berkata hal ini, berlaku disebabkan senario global seperti kenaikan harga makanan dunia. Menurut Indeks Pertubuhan Makanan, harga makanan meningkat pada Disember 2010 mengatasi 2008.
Pada Mac 2011, harga menurun sedikit dan stabil pada bulan April 2011. Walaupun harga ini masih tinggi, dunia turut mengalami kekurangan air untuk pertanian di samping berlaku perubahan cuaca yang menjejaskan kehidupan masyarakat luar bandar dan keselamatan penduduk seperti kes kematian yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Somalia akibat kekurangan makanan.

Associates Press, melaporkan, harga minyak dunia dijangka meningkat melebihi RM300 (AS$100), dengan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengumumkan tidak akan meningkatkan pengeluaran minyak mentah.

Bagaimanapun penggunaan minyak dunia dijangka akan bertambah sebanyak dua peratus pada tahun ini dengan purata 88.4 juta tong sehari. Kemelut peperangan Timur Tengah yang masih berterusan turut menyebabkan harga minyak melonjak kepada 25 peratus, yang aman antara catatan tertinggi setakat ini (Januari hingga April 2011).

Bukan itu saja, kata Siti Rahayu. Harga gas dunia turut mengalami kenaikan, walaupun pada dasarnya harga arang batu lebih stabil berbanding minyak dan gas. Harga arang batu dilaporkan pada Mac 2009 hanya lebih RM250 (AS$85) setiap tan dan kini mencecah lebih RM360 (AS$120) setiap tan, menjadikan perlu bagi pengguna untuk terus berbelanja secara berhati-hati bagi mengelakkan pembaziran.
Jelasnya, kenaikan harga barangan mentah itu secara langsung turut mempengaruhi harga makanan.

“Bersederhana dalam kehidupan adalah petua terbaik untuk mengawal nafsu daripada berbelanja secara berlebihan seperti mengurangkan perbelanjaan dapur dan belanja makanan apa pada musim perayaan ini.

“Fikirkanlah, wang sering diperkatakan murah untuk dibelanjakan tetapi sangat susah untuk disimpan. Oleh itu, pilihan di tangan anda. Berbelanjalah secara berhemat untuk kesejahteraan pada masa hadapan,” katanya.

Langkah menjimatkan perbelanjaan:

1. Beli secara pukal
Anda boleh membeli barangan secara pukal untuk barangan harian yang tahan lama seperti beras, minyak masak, sabun basuh dan syampu untuk sebulan sekali. Bagi barangan basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dibeli dua minggu sekali.

Anda boleh menyimpan makanan di dalam peti sejuk untuk mengekalkan kesegaran makanan berkenaan.

Rancang pembelian dengan menyediakan senarai barangan yang perlu dibeli. Elakkan daripada membuat pembelian yang tidak dirancang.

2. Jualan promosi
Promosi jualan murah semakin diperhebatkan menjelang musim perayaan ini. Persaingan sengit yang sihat ini akan memberi pilihan kepada pengguna. Menurut pakar psikologi, suri rumah mengamalkan tabiat setia pada satu-satu kedai atau pasar raya. Tabiat ini perlu dielakkan. Dengan adanya jualan murah di serata tempat, ia dapat menggalakkan anda untuk membuat perbandingan harga. Fikirkanlah sama ada pasar raya yang bakal dikunjungi menawarkan penjimatan yang sangat berbaloi kepada anda.

3. Menyediakan makanan di rumah
Faktor kesuntukan masa, terutama wanita berkerjaya, adalah alasan untuk tidak menyediakan makanan sendiri di rumah. Amalan menyediakan makanan di rumah lebih menjimatkan dan kebersihannya lebih terjamin. Anda boleh mengurangkan kekerapan membeli makanan di bazar Ramadan. Mungkin tanpa anda sedari, dengan berbelanja di luar, anda membayar kos upah tukang masak, pekerja, sewa kedai atau tapak gerai, pengangkutan dan sebagainya, menjadikan makanan berkenaan mahal.

4. Kawal penggunaan air dan tenaga
Menurut satu kajian, purata penggunaan air domestik di negara ini adalah sebanyak 226 liter per kapita sehari. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, purata penggunaan air dalam satu mandian ialah sebanyak 50 liter hingga 100 liter sehari. Pembaziran akan merugikan anda kerana pada akhir bulan anda terpaksa membayar bil yang tinggi. Begitu juga, gunakanlah cahaya matahari untuk menerangi rumah anda dan gunakan lampu kalimantang atau produk yang cekap tenaga.

5. Menilai keperluan, kehendak dan rangsangan
Anda perlu menilai sama ada adakah sesuatu barangan yang ingin dibeli itu benar-benar diperlukannya? Atau jika ia diperlukan, bolehkah pembelian berkenaan ditangguhkan? Adakah alternatif lebih murah?
Bolehkah ia dibuat sendiri? Persoalan ini perlu difikirkan sebelum anda membuat keputusan dalam pasaran.

Mengikut pengalaman bagi kaum wanita, selepas membeli baju, mereka perlu mendapatkan tudung yang berpadanan, kemudian mendapatkan aksesori seperti kerongsang, rantai, beg tangan yang bersesuaian dengannya. Faktor rakan sebaya juga turut mempengaruhi dalam berbelanja. Seolah-olah anda setaraf dengan rakan apabila anda berekspresi atau bergaya seperti mereka.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ramadandidikpenggunabijakberbelanja/Article

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
2011/08/16